Sokongan ibu sejak kecil dorong kejayaan Dr. Jane Goodall


  • Massa
  • Rabu, 11 Dis 2024

Goodall berkata nasihat ibunya masih berkesan dan tersemat dalam dirinya hingga hari ini.

PAKAR haiwan terkenal, Dr Jane Goodall berusia empat tahun ketika ibunya membawanya ke ladang yang mana dirinya menghabiskan masa memberi makan dan menjaga haiwan-haiwan.

Goodall menjadi terpesona dengan haiwan-haiwan ternakan yang dilihatnya di sana.

“Orang ramai sering bertanya apa yang membuatkan saya sangat menyayangi haiwan.

"Saya dilahirkan dengan kasih sayang itu dan ibu saya amat menyokongnya," ujarnya.

BACA LAGI: Mayat 'dilipat' dalam bagasi lengkap berpakaian, tiada tanda BCG

BACA LAGI: [VIDEO] Petinju dunia kena kejar, ditumbuk gara-gara silap sokongan

Bercakap ketika majlis Yayasan Tzu Chi Malaysia di Kepong, Kuala Lumpur, Goodall yang kini berusia 91 tahun, mengaitkan kejayaan dalam bidang professional itu dengan sokongan yang diterima daripada ibunya.

“Saya masih ingat saya tertanya-tanya bagaimana telur boleh keluar dari ayam dan ibu menerangkannya kepada saya.

"Seorang ibu yang berbeza mungkin akan memadamkan rasa ingin tahu itu, tetapi tidak baginya.

"Tanpa dorongan ibu, saya tidak akan berada di tempat saya hari ini," tambahnya.

Minat Goodall terhadap haiwan semakin berkembang berkat ibunya yang membelikan banyak buku berkaitan binatang kepadanya.

Kecintaan awal terhadap haiwan itu akhirnya mendorong Goodall melanjutkan pengajian kedoktorannya dalam tingkah laku haiwan di London, England.

Walaupun tidak memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang tersebut tetapi pengecualian dibuat untuknya atas pengiktirafan terhadap kerja lapangan awalnya di Tanzania dan potensi akademiknya.

Pada pertengahan 1960-an, beliau menerima PhD dari Universiti Cambridge.

Ini menandakan permulaan kerjayanya sebagai pakar hidupan liar.

Karier Goodall terbukti memainkan peranan penting dalam kajian spesies primat.

Beliau mendokumentasikan interaksi sosial yang kompleks, termasuk ikatan antara ibu dan anak serta tingkah laku yang ditunjukkan semasa pertikaian wilayah.

Kajiannya yang paling berpengaruh mungkin berkenaan penemuannya tentang cimpanzi juga mempunyai emosi.

Mengimbas kembali kariernya, Goodall berkata, nasihat ibunya masih berkesan dan terkesan dalam dirinya sehingga ke hari ini.

"Ibu berkata, jika saya mahu melakukan ini (kajian haiwan), saya mesti bekerja keras dan memanfaatkan setiap peluang yang ada," katanya.

Goodall juga teringat pertukaran pendapat dengan penyelia akademiknya semasa kursus PhD selepas menamakan primat di bawah jagaan mereka.

"Saya diberitahu untuk menggunakan nombor apabila merujuk kepada haiwan untuk mengekalkan objektiviti dan mengelakkan ikatan emosi," kata Goodall.

Pada majlis itu, Goodall menekankan kepentingan melindungi dan memulihara alam sekitar serta hidupan liar.

"Kita harus ingat bahawa kita memberi impak kepada planet ini dan kita boleh memilih impak yang kita inginkan," jelasnya.

The Star/FARID WAHAB

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram