
SEJAK akhir-akhir ini, platform media sosial di dalam negara heboh dengan beberapa video memaparkan makanan popular yang tular dalam kalangan warganet.
Bagaimanapun, rata-rata daripada makanan viral itu dilihat tidak memenuhi keperluan diet sihat yang diperlukan oleh seseorang individu.
Terkesan dengan fenomena tersebut, ia mendorong seorang suri rumah di Selayang, Selangor untuk mula menyediakan jualan makanan sihat bermula dari rumahnya.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Suri rumah, Hana Mashitah, 39, makanan popular yang tular di media sosial itu bukan hanya tidak berkhasiat, malah kebanyakannya juga dijual pada harga agak mahal.
"Baru-baru ini sya tengok orang suka beli makanan viral. Yang terbaharu ini ada hidangan Nachos yang saya rasa agak mahal. Jual sampai RM25.
"Walaupun mahal, tapi makanan yang dihidangkan itu kebanyakannya tak sihat," kongsinya kepada Majoriti.
Hidangan salad ayam yang disediakan Hana. — Hana Mashitah
Ekoran daripada itu, sejak penghujung bulan lalu, Hana yang mula serius menjual makanan dari rumah secara sambilan sejak kira-kira enam bulan lalu mengambil keputusan menyediakan menu sihat dengan menjual hidangan salad ayam.
Tanpa disangka-sangka, ibu kepada tiga anak itu berkata, tempahan dibuka bagi menu terbabit mendapat sambutan cukup menggalakkan daripada pelanggan.
Malah katanya, jumlah tempahan harian bagi makanan tersebut yang dibuat dari dapur rumahnya kini mencecah 40 pek dengan setiap daripadanya dijual pada harga RM10.
"Maklum balas yang saya dapat rupanya memang ramai yang cari menu macam itu.
"Cumanya mereka tak tahu nak cari dekat mana sebab tak ramai yang jual menu sihat ini," katanya.
Mengulas lanjut, Hana berkata, resipi penyediaan makanan sihat itu dipelajarinya sendiri daripada bacaan di internet dan juga perkongsian yang dibuat di media sosial.
Menurutnya, antara bahan digunakan dalam menu salad ayam itu ialah lobak merah, kubis ungu, tomato ceri, salad dan timun Jepun.
Hana berkata, bagi ayam pula, dagingnya akan diperap dengan serbuk cili, kicap manis dan madu sebelum dipanggang.
Katanya, menu terbabit yang turut dihidangkan dengan telur dan sos khas juga diubah suai agar ia lebih dekat dengan cita rasa pelanggan kebanyakan.
"Kalau saya buat betul-betul ikut resipi makanan diet, saya rasa mungkin tak sedap langsung.
"Jadi saya cuba lakukan sedikit penyesuaian daripada segi sos digunakan contohnya untuk pastikan ia lebih enak untuk dinikmati," ujarnya.
Antara bahan digunakan bagi penyediaan hidangan salad ayam. — Hana Mashitah
Dalam pada itu, Hana mengakui harga ditetapkan bagi menunya itu agak murah berbanding dengan jualan di tempat lain.
"Buat masa ini saya masih jual pada harga RM10. Mungkin sebab tempat saya dekat dengan Pasar Borong (Selayang), jadi saya boleh dapat sayur pada harga agak murah," katanya.
Bagaimanapun, Hana mengakui, kos operasinya turut terdedah kepada turun naik harga sayur yang berlaku di pasaran.
"Contohnya macam timun Jepun, kadang-kadang bila saya pergi pagi harga dia RM10.
"Tapi bila petang harga dia naik RM12," ujarnya yang kini boleh mendapat pendapatan harian sebanyak RM300 daripada jualan makanan sihatnya.
Bergerak ke hadapan, Hana berkata, dia mempunyai perancangan untuk memperkenalkan lebih banyak menu sihat lain.
Dia juga kini sedang mendapatkan maklum balas daripada pelanggan mengenai jenis menu yang dimahukan.
Pada masa sama, Hana yang ketika ini masih bergerak secara sendirian mengusahakan jualan tersebut turut tidak menolak kemungkinan mengenai hasratnya untuk membuka sebuah dapur pusat bagi menjalankan jualan menu sihatnya secara dalam talian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram