[VIDEO] Adunan warisan nenek di kebun belakang rumah, kerepek ubi kayu Neneng pikat pelancong Malaysia di Jawa Barat


  • Bizz
  • Isnin, 09 Dis 2024

Neneng Nurain bijak memanfaatkan kebun belakang rumah dan resepi nenek untuk menjual kerepek berasaskan ubi kayu.

BERMULA dengan minat mendalam terhadap dunia masakan yang dipelajari sejak kecil, seorang wanita di Indonesia kini berjaya mengembangkan perniagaan kerepek ubi kayu (lebih dikenali sebagai singkong di Indonesia) yang semakin popular di kalangan penduduk tempatan dan pelancong terutamanya dari Malaysia dan Singapura.

Menggunakan resipi tradisional warisan neneknya, wanita itu, Neneng Nurain mengubah perniagaan kecil-kecilan itu menjadi sebuah usaha yang memberi manfaat kepada keluarga.

Neneng, yang mengasaskan perniagaan kerepek ubi kayu pada tahun 2017 memulakan usahanya dengan hanya menawarkan ubi kayu dalam bungkusan besar.

"Dulu, ubi kayu dijual dalam bungkus besar-besar sahaja. Selepas 2023, kami mula ubah cara pembungkusan agar lebih kecil supaya mudah dibawa dan dibeli ramai orang," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Berlarilah dengan senyuman', sakit kanser tahap 4 tidak halang Cikgu E sertai maraton, syukur miliki anak isteri penguat semangat

BACA LAGI: [VIDEO] Duduk Sweden pun tak lekang loghat Terengganu, rakyat Malaysia tabik legasi Pantai Timur tak lupa asal usul

photo_6244674005487436131_y

Antara kerepek ubi kayu yang dijual oleh Neneng Nurain.

Wanita berasal Bandung, Jawa Barat, Indonesia itu berkata, kerepek ubi kayunya menampilkan lapan varian kerepek yang berbeza seperti casava chips, balado, pizza, barbeku, kanghui, original, keju, siyem dan perisa pedas.

"Saya tak guna pewarna tiruan. Memang guna warna asli ubi itu.

"Kebanyakan pelanggan suka perisa asli tetapi kesemua varian pun menawarkan rasa unik dan menarik," katanya.

Namun, perjalanan perniagaan Neneng tidaklah semudah yang disangka iaitu da awal perniagaannya, dia menghadapi cabaran besar dalam memasarkan produk.

"Memulakan perniagaan ini sangat sukar. Untuk menarik perhatian pelanggan, saya perlu berusaha keras, memikirkan cara terbaik untuk mempromosikan produk," kata Neneng.

Namun, takdir menyebelahi Neneng apabila perniagaannya mulai mendapat permintaan ramai sewaktu pandemik Covid-19 muncul yang memberi peluang baharu untuk perniagaannya berkembang.

"Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di Indonesia susulan pandemik Covid-19, kebanyakan orang terpaksa berada di rumah.

"Ini memberi peluang kepada perniagaan dalam talian untuk berkembang.

"Ketika lockdown, orang ramai lebih banyak duduk di rumah dan membeli barang secara dalam talian. Mereka mula memesan melalui WhatsApp, dan saya menghantar pesanan mereka menggunakan Grab Express," ujar Neneng.

Neneng berkata, permintaan kerepeknya melonjak sebanyak tiga kali ganda selepas Covid-19.

"Ramai yang mencuba kerepek saya dan repeat order," katanya.

Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan perniagaan Neneng adalah ilmu memasak yang diwarisi daripada neneknya.

Sejak kecil, Neneng sering berada di dapur bersama nenek, mempelajari pelbagai resipi tradisional terutamanya cara memasak ubi kayu dengan cara yang mudah tetapi penuh rasa.

"Saya belajar banyak daripada nenek saya. Ketika masih sekolah, saya selalu diminta untuk memasak di rumah.

"Itulah sebabnya saya amat mencintai dunia masakan," kata Neneng sambil mengenang kenangan manis bersama neneknya.

Selain ilmu masakan yang dipelajari, Neneng juga menggunakan bahan mentah yang berkualiti tinggi untuk produk-produk kerepeknya.

Wanita berusia 39 tahun itu berkata, ubi kayu yang digunakan diperoleh hasil dari kebun belakang rumah yang diusahakan oleh atuknya.

"Atuk saya yang tanam ubi kayu di kebun belakang rumah. Beliau memang suka berkebun dan saya pastikan ubi kayu yang digunakan segar dan berkualiti," katanya.

Dengan kebun sendiri, Neneng bukan sahaja dapat memastikan kualiti bahan mentah yang digunakan, tetapi juga mengurangkan kos dan memastikan keberlanjutan bekalan ubi kayu yang konsisten.

Perniagaan kerepek ubi kayu milik Neneng kini bukan sahaja terkenal dalam kalangan masyarakat tempatan, tetapi turut mendapat perhatian daripada pelancong luar, terutamanya dari Malaysia dan Singapura.

"Ada banyak pelancong dari Singapura dan Malaysia yang datang dan membeli kerepek saya sebagai oleh-oleh.

"Di rumah saya, ada buat kedai oleh-oleh," katanya, yang kini mempunyai 12 orang pekerja yang membantunya dalam pengeluaran dan penghantaran produk.

Selepas perniagaannya berkembang dengan pesat, Neneng kini mula mengeluarkan produk baharu berasaskan bakso.

"Sekarang, saya sudah mula jual bakso dalam bentuk kerepek juga. Ada empat jenis iaitu basreng, seblak gurilem dan rambak cumi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram