Teruskan legasi berniaga di pasar malam, Emilhan kini pasarkan kerongsang mutiara asli Sabah ke Semenanjung


  • Bizz
  • Selasa, 10 Dis 2024

Emilhan (gambar kiri) mula menjual kerongsang secara dalam talian pada Jun 2020 ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

PADA penghujung 2019, Emilhan Mokhtar mengambil keputusan pulang ke kampungnya di Kota Kinabalu, Sabah selepas kontraknya bersama sebuah syarikat swasta di Lembah Klang tamat.

Untuk tempoh beberapa bulan selepas itu, dia yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Pengkhususan Kewangan) daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Selangor terpaksa menganggur.

Malah, situasi tersebut diburukkan lagi dengan keadaan pasaran kerja yang ketika itu terkesan dengan penularan pandemik Covid-19.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Bagaimanapun, keadaan tersebut tidak mematahkan semangat Emilhan yang ketika itu baru sahaja memulakan langkah dalam alam pekerjaan.

Mengambil kira situasi pasaran pekerjaan yang tidak begitu baik, Emilhan membuat keputusan untuk meminjam wang sebanyak RM2,000 bagi memulakan perniagaan untuk menjual barangan aksesori wanita seperti kerongsang mutiara dan gelang.

Menurut Emilhan, jenis bisnes yang bermula pada Jun 2020 adalah tidak asing baginya memandangkan kedua-dua ibu bapanya sendiri pernah membuka kedai menjual kerongsang di pasar malam di Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, jika kedua-dua orang tuanya menjalankan perniagaan dengan membuka gerai fizikal, pemuda itu sebaliknya memilih memulakan bisnes dengan sepenuhnya melalui platform dalam talian.

428689131_838275858311488_98739271357442867_n

Antara koleksi kerongsang yang dijual Emilhan. — KitaShop

"Jadi waktu itu (pandemik), banyak perniagaan dalam talian tengah mantap. Jadi saya punya jualan pun naik.

"Kemudian pada Mei 2021, saya mula menjual di Lazada," katanya kepada Majoriti.

Menurut Emilhan, pada waktu itu, operasi perniagaannya dilakukan sepenuhnya dari rumahnya di Kota Kinabalu bermula daripada simpanan bekalan dan pembungkusan barang.

Dia seterusnya membuat keputusan untuk mendaftarkan perniagaannya menjadi syarikat sendirian berhad dengan menggunakan nama Emilhan Trading Sdn Bhd pada Januari 2022.

Selepas menunjukkan kemajuan yang konsisten Emilhan kemudiannya mengambil langkah untuk membuka satu kedai yang terletak di Wisma Sabah pada Januari 2023.

Menurutnya, perkembangan positif perniagaannya itu didorong antara lain oleh inisiatif dan pinjaman daripada agensi seperti Tekun Nasional dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

468773084_9354348694588641_703166760001693088_n

Emilhan turut mendapat bantuan kewangan daripada BSN. — Emilhan Mokhtar

Penjual kerongsang permata asli Sabah dalam talian

Emilhan berkata, pada ketika ini, 80 peratus hingga 90 peratus daripada jualannya datang daripada platform dalam talian termasuk TikTok Shop.

Katanya, antara barangan popular yang dicari pelanggan adalah kerongsang yang dihiasi dengan mutiara asli dari Sabah.

Ujar Emilhan, meskipun aksesori itu banyak diperoleh di Sabah, namun, tidak banyak daripadanya menjual produk berkenaan di dalam platform dalam talian.

"Disebabkan itu, KitaShop mendapat permintaan yang tinggi kelebihan untuk memasarkan produk kita," ujarnya yang turut menganggarkan 90 peratus daripada pelanggannya adalah dari Semenanjung Malaysia.

Dalam pada itu, Emilhan berkata, produknya juga mendapat permintaan yang tinggi dalam tempoh tertentu antaranya seperti musim perayaan dan sambutan hari guru.

Katanya, dalam waktu tersebut, jumlah tempahan yang diperolehi boleh mencecah 500 hingga 600 tempahan sehari dengan nilai jualan bulanan mencecah enam angka.

"Jadi masa itu, kalau kita tak buat siaran langsung di TikTok pun, memang akan ada tempahan yang akan masuk," ujarnya.

341854642_656401219582846_598459563027066833_n

Premis KitaShop yang terletak di Wisma Sabah di Kota Kinabalu. — KitaShop

Selain kerongsang, KitaShop turut menawarkan pelbagai lagi aksesori lain seperti gelang, rantai dan dokoh kebaya.

Bagi kerongsang dengan mutiara asli, ia dijual pada harga sekitar RM22.50 hingga RM27.00.

Manakala kerongsang biasa pula dijual pada harga bermula RM2.50.

Sementara itu, Emilhan berkata, untuk tahun depan, dia menyasarkan untuk meningkatkan lagi kapasiti jualan khususnya ketika tempoh perayaan Hari Raya.

"Tahun depan kita sasar untuk capai jualan tujuh angka ketika sambutan Hari Raya. Untuk Hari Guru pun sama.

"Jadi kita akan bagi tumpuan untuk pastikan kita bersedia waktu itu bagi penuhi permintaan pelanggan termasuk daripada segi tenaga kerja," ujarnya yang ketika ini dibantu lima orang pekerja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram