MENGGEMARI kraf tangan sejak kecil, Haida Aminudin menjadikan pandemik Covid-19 sebagai peluang untuk menceburi hobi baharu dan seterusnya memulakan bisnes krusye.
Bermula sebagai usaha untuk mengisi masa lapang, kini wanita berusia 27 tahun itu berjaya menghasilkan pendapatan melalui jualan produk kraf tangan yang unik dan berkualiti.
“Saya mula belajar kemahiran krusye (crochet) semasa pandemik. Ketika itu saya tiada kerja nak buat, jadi saya belajar daripada video YouTube.
Haida menjadikan aktiviti mengait sebagai alternatif mengisi masa lapang semasa pandemik.
"Saya beli benang dan jarum krusye, kemudian ikut tutorial video. Dalam masa tiga bulan, saya dah boleh buat mainan (amigurumi),” katanya kepada Majoriti.
Menurutnya, minat terhadap kraf mula bercambah sejak kecil apabila sering menonton rancangan Art Attack, iaitu sebuah rancangan televisyen melibatkan pembelajaran seni di saluran Disney Channel.
Mengambil inspirasi itu, anak bongsu daripada tiga beradik ini nekad mahu menceburi dunia pembuatan kraf dengan belajar menjahit menggunakan mesin jahit ketika berusia 15 tahun.
Walaupun pada awalnya Haida menjadikan aktiviti mengait sebagai alternatif mengisi masa lapang semasa pandemik, namun dia mula serius menjalankan bisnes tersebut pada 2022.
Dengan sokongan kakaknya, mereka membuka gerai untuk menjual hasil krusye, termasuk mainan bersaiz besar yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
“Kakak saya banyak membantu dari segi memulakan dan memasarkan produk saya. Dia yang beri tip untuk buka gerai.
"Untuk masa sekarang, pelanggan juga boleh buat tempahan custom-made melalui gerai kami atau secara dalam talian. Kalau mereka nak warna lain atau saiz tertentu, saya akan buat khas,” jelasnya yang menghasilkan produk seperti anak patung, beg dan sarung botol.
Antara produk krusye yang dihasilkan Haida.
Mengimbangi kehidupan seharian dengan perniagaan bukan perkara mudah bagi Haida. Di rumah, dia turut membantu menjaga ibu, mengurus kerja rumah termasuk mengendalikan hotel kucing berskala kecil untuk rakan-rakan yang bercuti.
“Kadang-kadang masa jadi cabaran. Kena pandai bahagikan masa antara bisnes dan tanggungjawab di rumah,” ujarnya.
Wanita berasal dari Shah Alam itu kini menyuarakan hasrat untuk meluaskan perniagaannya dengan menjual corak krusye rekaan sendiri di platform dalam talian.
“Saya nak fokus jualan dalam talian dan buat paten sendiri supaya orang lain pun boleh belajar dan buat seni kait krusye,” ujarnya penuh harapan.
Dengan kreativiti dan usaha gigih, Haida kini membuktikan bahawa hobi bukan sahaja boleh bertukar menjadi sumber pendapatan yang stabil, malah memberi inspirasi kepada mereka yang ingin mencuba bidang perniagaan kecil-kecilan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram