Selesai dibersihkan dan dinaik taraf, pusat akuatik JB bakal terima pengunjung 1 Januari 2025


  • Primer
  • Jumaat, 06 Dis 2024

Pembukaan semula Pusat Akuatik MBJB itu melibatkan dua fasa dan masih dalam proses pembersihan daripada bahan tercemar. — The Star

PUSAT Akuatik Arena Larkin Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan dibuka semula kepada orang ramai pada 1 Januari 2025 selepas ditutup sejak Julai lalu akibat pencemaran bakteria E. Coli.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, kerja-kerja pembersihan dan naik taraf itu menelan kos sebanyak RM1.3 juta serta pembukaan semula pada Januari akan melibatkan dua fasa.

"Walaupun kualiti air dan kerja-kerja menaik taraf kolam sudah siap, masih terdapat kerja-kerja menaik taraf teknikal yang sedang dijalankan.

"Kami mahu menaik taraf pagar dan kawasan sekitar supaya tidak licin," katanya.

BACA LAGI: Pusat akuatik MBJB ditutup, 19 pelajar alami gejala muntah-muntah lepas mandi kolam

BACA LAGI: [VIDEO] Bapa 2 anak buntu cari kerja tebal muka tahan kereta polis mahu jual G-Shock RM100

2827510

Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin yang sebelum ini ditutup ekoran seramai 19 pelajar dilaporkan muntah-muntah dan demam selepas terkesan dengan air kolam renang tersebut.

Mohd Hairi juga berkata bahawa pembukaan semula itu akan dilakukan secara berperingkat.

"Kami tidak mahu tergesa-gesa dan hanya akan dibuka semula sepenuhnya apabila ujian yang dijalankan oleh Jabatan Kimia dan Kesihatan menunjukkan tiada bahan cemar di dalam air.

"Terdapat banyak pertanyaan tentang perkembangan lanjut kerana ia adalah satu-satunya kolam renang di Johor bertaraf antarabangsa.

"Keutamaan kami adalah kesihatan dan keselamatan orang ramai," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, Jabatan Kesihatan dan Kimia akan melakukan pemeriksaan berkala di pusat itu bagi memastikan air bebas daripada bakteria.

"Kami akan memeriksa klorin dan E. Coli dan setiap keputusan ujian keluar dalam masa dua hari.

"Ujian itu akan dijalankan sehingga kemudahan itu dibuka kepada orang ramai pada 1 Januari 2025.

"Kami mahu memastikan pemilik fasiliti dapat mengekalkan kualiti air dan mengelakkan sebarang kejadian pada masa hadapan," jelasnya.

Ling menambah, prosedur operasi standard (SOP) sampel air juga sudah diperkenalkan di kemudahan itu.

Pada 27 Julai lalu, 19 daripada 900 pelajar yang menyertai kejohanan di pusat itu dikejarkan ke hospital selepas mengalami simptom seperti muntah, demam dan gatal-gatal kulit.

Gejala itu dipercayai berpunca daripada air tercemar di kolam renang dan menyelam pusat akuatik itu.

Selepas kejadian itu, keputusan ujian mendedahkan bahawa air di dalam kolam mengandungi bakteria E. Coli. — The Star/REMAR NORDIN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram