TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan bahawa punca banjir di Kelantan dan Terengganu adalah disebabkan oleh hujan lebat yang turun secara berterusan.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, ada sesetengah lokasi yang dilanda banjir ketika ini menerima limpahan air dua kali ganda daripada jumlah purata hujan.
Katanya, limpahan air bergantung kepada sesuatu lokasi kerana terdapat tempat yang melebihi dua kali ganda daripada jumlah purata hujan.
BACA LAGI: Suami Zahnita ditahan, didakwa kasari isteri ingin keluar rumah, tinggal berasingan
Sesi taklimat yang diberikan oleh Timbalan Pengarah Operasi Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (JPS) Malaysia, Dr Salwa Ramly (kanan).
"Ditambah pula dengan keadaan paras air pasang di sungai dan laut yang memang dah tinggi sekarang.
"Jadi, ia bertembung dan kalau kita bandingkan pada 2014 (kira-kira 10 tahun lepas), sekarang lebih tinggi daripada 2014," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ampang, Selangor pada Selasa.
Menurutnya, selain hujan lebat dan paras air pasang, pembangunan juga antara punca lain yang boleh menyebabkan banjir.
Fadillah berkata, bencana banjir juga boleh berlaku di mana-mana sahaja termasuk kawasan yang tidak pernah terjejas.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa pihaknya akan terus membuat pemantauan di 13 empangan hidroelektrik selama 24 jam dalam seminggu.
"Kalau kami dapati terdapat keadaan bahaya, maka air akan dilepaskan secara berkala bagi mengelakkan berlaku banjir yang teruk.
"Tetapi, setakat ini menurut taklimat TNB, semua kawasan empangan berada dalam keadaan terkawal dan tiada limpahan berlebihan berlaku.
"Pam juga akan diaktifkan untuk memastikan air cepat dialirkan dan pemulihan dapat dilakukan terutama di kawasan banjir termenung," katanya.
Jelasnya lagi, matlamat utama pihaknya pasca banjir adalah untuk membantu proses pembersihan, melaksanakan program dan bantuan kepada yang memerlukan.
Beliau pada masa sama turut mengingatkan orang ramai agar membuat pemeriksaan terlebih dahulu daripada pihak berkuasa sekiranya menerima maklumat tentang individu yang mahu meminta bantuan banjir di media sosial. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram