
JABATAN Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kuala Lumpur (KL) dan Putrajaya masih melakukan siasatan untuk mengenal pasti punca 'mobile elevating work platform' (MEWP) tumbang sehingga menyebabkan kematian dua pekerja pada Khamis.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan, jabatan tersebut sudah mengeluarkan notis larangan bagi kerja-kerja mengecat diteruskan di Kuarters Pangsapuri Kerajaan, Presint 8, Putrajaya.
"Dua notis pembaikan juga dikeluarkan, masing-masing atas kegagalan pihak pemunya projek menyediakan Prosedur Kerja Selamat dan menjalankan Penaksiran Risiko bagi semua aktiviti kerja berisiko tinggi terhadap kontraktor di bawah seliaannya.
BACA LAGI: Polis Johor terima laporan pengasas kebajikan, dakwa guru tumbuk dan rentap rambut murid
BACA LAGI: Dua maut, rakan parah lepas 'basket' kren skylift terhempas di Putrajaya
Kren yang tumbang itu menyebabkan dua pekerja maut sementara seorang lagi cedera parah.
"Manakala, satu lagi Notis Pembaikan dikeluarkan kepada pihak pemunya jentera atas kegagalan mengadakan latihan yang perlu kepada operator MEWP," katanya pada Jumaat.
Dalam satu kejadian pada Khamis, dua pekerja mengecat meninggal dunia sementara seorang lagi berada dalam keadaan parah selepas kren tersebut tumbang berikutan hilang kestabilan ketika aktiviti itu sedang dijalankan.
Insiden itu turut dikongsikan di media sosial memaparkan pekerja sedang memberi bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) terhadap salah seorang yang difahamkan terjatuh.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila jek hidraulik jentera terbenam dalam tanah dan menyebabkan kren hilang keseimbangan lalu terbalik.
JKKP KL dan Putrajaya dalam kenyataan sama turut menegaskan tindakan perundangan akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram