PUSAT Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Arena Larkin, Johor dijangka ditutup sementara selepas 19 pelajar sekolah menengah dimasukkan ke hospital akibat mandi di kolam tersebut.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelajar berkenaan sepatutnya dijadual menyertai pertandingan renang anjuran Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Johor (MSSJ) dari 23 hingga 25 Julai ini.
"Sehingga Ahad, hanya seorang daripada 19 pelajar itu masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
BACA LAGI: [VIDEO] Kemarau dipercayai punca air kolam bertukar warna 'pink' di Hawaii
BACA LAGI: [VIDEO] Nak selamatkan budak lemas tapi maut terkena renjatan elektrik di kolam pusat beli-belah
"Terdapat 900 peserta pertandingan itu secara keseluruhan dan 19 daripadanya dimasukkan ke hospital," katanya ketika melawat Pusat Akuatik Arena Larkin.
Tambahnya, pelajar terbabit mula muntah-muntah, demam dan gatal kulit pada 25 Julai lalu sebelum dimasukkan ke hospital.
“Hasil penyelidikan dijalankan, jelas menunjukkan bahawa beberapa kemudahan di pusat itu memerlukan pembaikan, dengan sebahagian fasiliti didapati berkarat akibat tidak digunakan semasa pandemik.
"Jabatan Kimia telah mengambil sampel air dari kolam renang dan kita sedang berusaha untuk menentukan punca kejadian ini.
"Bergantung kepada laporan, kami mungkin terpaksa menutup sementara pusat ini. Pemilik bangunan telah dimaklumkan untuk menjalankan penyelenggaraan segera," katanya.
Onn Hafiz berkata, sebahagian fasiliti di MBJB didapati berkarat akibat tidak digunakan semasa pandemik.
Ketika ditanya mengenai projek sekolah rintis yang dijangka dilancarkan tahun depan, Onn Hafiz berkata, guru terbabit kini sedang menjalani latihan.
"Projek sekolah rintis itu dijangka dilancarkan pada Februari tahun depan. Mulai bulan ini, semua guru terbabit telah dipilih untuk menjalani latihan.
"Kami mahu guru mempelajari kurikulum dan pengetahuan yang diperlukan untuk mengajar kanak-kanak sebaik projek perintis bermula.
"Ia mungkin akan mengambil masa satu hingga dua tahun untuk melihat sama ada program itu berjaya. Bagaimanapun, kami yakin inisiatif ini akan membuahkan hasil yang positif," katanya.
Tambahnya, program itu telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan dan butirannya kini sedang dimuktamadkan oleh kerajaan negeri dan persekutuan termasuk sektor swasta.
"Perbincangan juga sedang dijalankan untuk memilih sekolah mana yang akan mengambil bahagian. Idea utama adalah untuk memastikan kesinambungan antara sekolah rendah dan menengah," tambahnya.
Terdahulu, Onn Hafiz menyebut Johor akan melancarkan sekolah rintis tahun depan bagi menambah baik sistem pendidikan negeri.
"Ini selaras dengan titah Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang menekankan kepentingan pendidikan berkualiti tinggi.
"Perhatian khusus akan diberikan kepada penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), serta Bahasa Inggeris," katanya sambil menambah projek perintis itu pada mulanya akan merangkumi dua sekolah rendah dan dua sekolah menengah yang dipilih oleh negeri ini. — The Star / REMAR NORDIN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram