'Tiada jatuh, pekerja selamat', JKKP rancang pantau tapak binaan


  • Primer
  • Khamis, 05 Dis 2024

Ketua Pengarah JKKP, Ir Mohd Hatta Zakaria (tiga kiri) turut hadir Ops Tapak Pembinaan di Cyberjaya.

JABATAN Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) menjalankan operasi dengan tujuan untuk mempergiat aktiviti penguatkuasaan selain meningkatkan pematuhan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di tapak pembinaan.

Menurut kenyataan yang keluarkan pada Khamis, operasi yang dijalankan oleh JKKP menumpukan kepada pemantauan aktiviti berisiko tinggi di tapak pembinaan, seperti kerja di tempat tinggi, pengangkatan dan kerja konkrit.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk memastikan pematuhan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 serta Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024 yang mula dikuatkuasakan pada 1 Jun 2024.

BACA LAGI: [VIDEO] CEO UnitedHealthcare maut terkena ‘headshot’ suspek seragam hitam depan hotel di New York

BACA LAGI: [VIDEO] Bas hilang kawalan sebelum masuk longkang, 20 penumpang berdepan detik cemas

UKK05151_1

JKKP menjalankan operasi dengan tujuan untuk mempergiat aktiviti penguatkuasaan selain meningkatkan pematuhan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di tapak pembinaan.

Operasi tapak pembinaan dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran keselamatan dan kesihatan. Walaupun kecederaan di sektor pembinaan menurun dari 2021 hingga 2023, angka kematian masih tinggi.

"Pada 2023, 1,144 kes jatuh dari tempat tinggi dilaporkan dengan penyebab utama adalah persekitaran kerja yang tidak selamat dan kurangnya kelengkapan perlindungan diri. Aktiviti mengangkat peralatan menyumbang kepada 1,389 kes kecederaan," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, sepanjang 2024, JKKP melaksanakan tiga operasi tapak pembinaan (OTP) di seluruh negara iaitu OTP Bil. 1/2024, OTP Bil. 2/2024 dan OTP Bil. 3/2024.

"OTP Bil. 1/2024 bertemakan "Tapak Bina Selamat, Tiada Jatuh Lagi" yang dijalankan dari 27 Februari hingga 6 Mac di 133 tapak bina, fokus pada kerja di tempat tinggi dan pengangkatan.

"OTP Bil. 2/2024, dengan tema "Double SPARK" dijalankan pada 2 hingga 13 September di 192 tapak bina, bertujuan memantau pematuhan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 yang berkuatkuasa pada 1 Jun 2024.

"OTP Bil. 3/2024, bertemakan "Tiada Jatuh, Pekerja Selamat", dijalankan dari 25 hingga 29 November 2024, fokus pada Pengetahuan Am Peraturan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024, kerja di tempat tinggi dan pengangkatan. Secara keseluruhan, sebanyak 475 tapak bina terlibat dalam ketiga-tiga operasi tapak pembinaan sepanjang tahun 2024," katanya.

UKK05313

Salah seorang ahli JKKP yang turut hadir dalam Ops Tapak Pembinaan di Cyberjaya.

Menurutnya, sepanjang ketiga-tiga operasi tapak pembinaan (OTP) 2024, JKKP telah mengeluarkan sejumlah tindakan punitif: 498 Surat Arahan, 416 Notis Larangan, 187 Notis Perbaikan, 102 Notis Sita, 103 Cadangan Kompaun, dan 9 Cadangan Pendakwaan.

"Kesalahan yang dikenakan tindakan termasuk tepian terbuka yang tidak diadang dan ketiadaan pelan mengangkat.

"JKKP komited untuk memantau industri pembinaan bagi mengurangkan kemalangan, kecederaan dan kematian.

"Semua pihak terlibat, termasuk klien, perekabentuk dan pembina perlu memastikan projek pembinaan dijalankan dengan selamat melalui pematuhan terhadap Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) 2024 serta garis panduan berkaitan.

"Majikan juga harus memberi latihan yang mencukupi kepada pekerja untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran tentang kerja selamat dan sihat.

"Jabatan tidak akan berkompromi dengan majikan atau pengurus projek yang gagal mematuhi perundangan dan tanggungjawab untuk memastikan tapak pembinaan dan kawasan sekitarnya selamat untuk pekerja dan orang awam," jelas kenyataan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram