POLIS mengesahkan menerima laporan berhubung seorang murid berusia 10 tahun yang didakwa dikasari oleh guru sekolahnya di sebuah sekolah rendah di Johor baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, laporan berhubung perkara tersebut diterima pada Khamis.
Raub berkata, pihak polis turut terkesan dengan kenyataan yang dimuat naik di satu akaun media sosial Facebook berhubung perkara tersebut.
BACA LAGI: Dua maut, rakan parah lepas 'basket' kren skylift terhempas di Putrajaya
BACA LAGI: [VIDEO] Cedera tulang belikat, budak 6 tahun dikejarkan ke hospital terlibat kes langgar lari di JB
"Kita mengesahkan ada terima laporan berhubung kes tersebut pada 5 Disember 2024 dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
"Bagaimanapun, siasatan dirujuk kepada pihak pendakwa raya bagi mendapatkan arahan untuk menyiasat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu tular satu hantaran di Facebook milik Herman Sudil pada Khamis mendakwa mangsa yang tinggal di rumah kebajikan miliknya ditampar dan ditumbuk seorang guru di sekolah.
Namun, tidak dinyatakan lokasi sebenar kejadian itu berlaku.
"Dia (cikgu) tumbuk pula dan selepas itu rentap rambut kemudian seret sampai ke pejabat.
"Sebab dia (mangsa0 tiada mak bapak, cikgu berani buat begitu?
"Sebab dia duduk di rumah kebajikan maka boleh diperlakukan budak ini lebih teruk dari binatang?" dakwanya.
Herman turut meluahkan rasa kesal kerana tindakan cikgu berkenaan bukanlah mendidik tetapi mencederakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram