Majikan pekerja kilang kertas kitar semula maut jatuh dari tempat tinggi cuai, kena notis larangan — JKKP Selangor


  • Primer
  • Jumaat, 29 Dis 2023

Seorang lelaki dilaporkan terkorban dalam satu insiden yang berlaku di sebuah kilang dekat Bandar Mahkota, Banting, Selangor.

JABATAN Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor memandang serius kemalangan membabitkan seorang lelaki yang maut selepas terjatuh dari tempat tinggi di sebuah kilang kertas kitar semula dalam kejadian di Banting pada Rabu.

JKKP Selangor menerusi satu kenyataan media berkata, pihaknya mendapati bahawa mangsa bersama seorang rakan telah ditugaskan untuk kerja-kerja pembersihan di bahagian pully pada mesin solid fuel conveyor secara manual iaitu dengan menggunakan shovel.

Katanya, ketika kejadian, shovel dan badan mangsa tersangkut di antara pully dan tali sawat (belting) conveyor yang sedang beroperasi.

"Hal itu menyebabkan mangsa tertarik dan berpusing pada pully sebelum terjatuh ke bawah melalui sebuah lubang belting tensioner yang berada bersebelahan dengan pully tersebut.

"Kemudian, mangsa didapati terjatuh dari ketinggian lebih kurang 24 meter dari aras lantai sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan ketika tiba di hospital," katanya pada Jumaat.

JKKP Selangor berkata, pihaknya serta-merta mengeluarkan notis larangan di atas kegagalan pihak majikan untuk memastikan setakat yang praktik ke atas sistem kerja selamat termasuk arahan larangan kacau ganggu di kawasan kemalangan.

"Dua notis pembaikan turut dikeluarkan di atas kegagalan majikan memasang pengadang pada bahagian berputar bagi mesin solid fuel conveyor dan kegagalan mengadakan

interlocking dan sistem lockout–tagout (LOTO) pada mesin solid fuel conveyor," katanya.

Menurutnya, surat arahan turut dikeluarkan kepada majikan bagi menjalankan penaksiran semula terhadap risiko bagi kerja-kerja pembersihan di seluruh kawasan mesin solid fuel conveyor.

Dalam pada itu, JKKP berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca-punca kemalangan dan pihak bertanggungjawab ke atas kemalangan tersebut.

Katanya, majikan bakal berdepan tindakan perundangan sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994

Tambah JKKP lagi, majikan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja memandangkan majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja.

"Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC)," katanya.

Perkara ini perlu dilakukan untuk mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram