Terima rawatan mental, anak hisap vape dadah tergamak tikam ibu sampai mati di Kluang, kena reman 7 hari


  • 112
  • Khamis, 05 Dis 2024

Mangsa (gambar kecil) meninggal dunia selepas ditikam di belakang badan dengan menggunakan pisau oleh anak kandungnya sendiri.

SEORANG wanita maut selepas ditikam dengan pisau oleh anak lelakinya dalam kejadian di Felda Ayer Hitam, Kluang, Johor pada Rabu.

Difahamkan, suspek bertindak sedemikian disebabkan berang selepas ditegur oleh mangsa kerana menghisap vape berperisa dadah.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh bagaimanapun berkata, punca kejadian itu masih dalam siasatan dan pihaknya menahan reman suspek yang berusia 20-an pada pagi Khamis di Mahkamah Majistret Kluang.

BACA LAGI: [VIDEO] Akta Kawalan Produk Merokok: Kaki rokok, vape kategori pesakit mental — Pakar

BACA LAGI: GTSM nafi dakwaan teksi terbakar di Merlimau berpunca daripada kebocoran tangki gas NGV

6235495995383333260

Suspek ditahan selepas menikam ibunya sendiri di rumahnya di Kluang.

Bahrin berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek tiada rekod jenayah lalu dan hasil saringan ujian air kencing juga negatif.

Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 50-an ditemui maut disyaki ditikam di belakang badan dengan pisau dan mayatnya dalam keadaan terbaring di rumahnya.

"Wanita itu kemudian dibawa ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang dan disahkan meninggal dunia.

"Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kluang bersama anggota Balai Polis Sri Lalang menahan suspek di Felda Ayer Hitam.

Mahkamah Majistret Kluang dalam pada itu membenarkan penahanan reman selama tujuh hari hingga 11 Disember depan ke atas suspek bagi membolehkan siasatan di bawah seksyen 302 kanun keseksaan kerana membunuh.

Perintah reman dikeluarkan Majistret, Mustaqim Sukarno selepas mendapat permohonan daripada polis.

Dalam perkembangan sama, bapa suspek dilaporkan berkata, anak ketiga daripada lima beradik sebenarnya sedang melalui rawatan mental di hospital sejak enam bulan lalu.

"Anak saya sudah menerima rawatan mental dan dibekalkan ubat oleh pihak hospital," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram