SEORANG remaja lelaki warga Myanmar berusia 16 tahun maut dibunuh dengan kejam dipercayai akibat perasaan cemburu buta.
Mangsa ditemukan dengan lebih 20 kesan tikaman di hampir seluruh badan termasuk leher di belakang sebuah pasar raya di Taman Klang Utama, Klang, Selangor pada Ahad malam sekitar pukul 11 malam.
Memetik laporan The Star, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, polis menerima maklumat mengenai insiden itu sekitar pukul 12.30 tengah malam dan mendapati mangsa sudah meninggal dunia di lokasi kejadian.
Hasil siasatan awal, polis menahan lima lelaki warga Myanmar berusia antara 25 hingga 40 tahun di sekitar Klang pada malam yang sama.
Siasatan mendapati mangsa bekerja sebagai pekerja am di sebuah kedai runcit berhampiran dan kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu seorang suspek yang menyangka isterinya menjalin hubungan dengan mangsa.
Wanita tersebut yang berusia 30-an juga bekerja di kedai yang sama.
Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai bekerja, berdasarkan penemuan basikal milik mangsa di lokasi kejadian.
Semua suspek dan mangsa didapati memiliki dokumen pengenalan diri yang lengkap.
Polis turut merampas telefon bimbit milik semua suspek sebagai sebahagian daripada siasatan dan kini giat mencari senjata yang digunakan dalam kejadian tersebut.
Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram