HANYA kerana basikal, seorang lelaki dipukul menggunakan kayu oleh sekumpulan lelaki dalam kejadian di kawasan Kampung Titingan dekat Tawau, Sabah pada Sabtu.
Lebih mengejutkan lagi, ada dalam kalangan suspek yang bertindak di luar kawalan cuba mencederakan mangsa dengan parang.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu oleh ibu saudara mangsa, pada pukul 4 petang, yang mendakwa mangsa berusia 30-an dipukul akibat pertikaian disebabkan berkaitan pinjam basikal.
BACA LAGI : [VIDEO] Lelaki maut tersepit, lori dipandu hilang kawalan sebelum rempuh tanker minyak di Dengkil
BACA LAGI : Tinggal berseorangan di Kulai, warga emas ditemukan maut dengan kesan tikaman
Katanya, kejadian itu berlaku ketika mangsa dan suspek sedang berbincang mengenai dakwaan bahawa anak saudara suspek sering mengugut anak saudara mangsa yang sering meminjam basikal.
“Pertemuan itu bagaimanapun bertukar tegang apabila suspek didakwa tidak puas hati dengan tuduhan itu lalu bertindak memukul mangsa.
“Selepas itu, mangsa pulang ke rumah. Tidak lama kemudian datang semula empat lelaki iaitu rakan suspek bertindak memukul mangsa bersenjatakan kayu dan parang,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Jasmin berkata, akibat kejadian itu, mangsa cedera di tangan, muka dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Susulan itu, pada hari yang sama, kira-kira pukul 5.30 petang, sepasukan polis dari Pondok Polis Kawasan (PPK) Titingan bersama Strike Team, Balai Polis Tawau menahan suspek warga asing berusia 30-an di kawasan Kampung Titingan.
"Polis turut merampas dua batang kayu yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan berkenaan.
"Pada masa sama, polis masih mengesan beberapa individu lain yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata atau alat yang berbahaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram