
SEBANYAK 21 kamera litar tertutup (CCTV) baharu dipasang di kawasan kediaman pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi membendung kejadian kes buli daripada terus berulang.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius terhadap kes penganiayaan yang berlaku di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), UPNM serta titah Yang di-Pertuan Agong,Sultan Ibrahim yang menzahirkan keprihatinan terhadap isu tersebut.
"Titah Seri Paduka Baginda dengan jelas menunjukkan bahawa budaya buli tidak boleh dibiarkan berlaku kerana ia bukan sahaja menjejaskan perpaduan pelajar, tetapi juga mencemarkan reputasi institusi pendidikan tinggi ini dan Angkatan Tentera secara amnya," katanya pada Rabu.
BACA LAGI: Pelatih UPNM pijak junior guna 'spike boot' hingga parah mengaku tak bersalah
BACA LAGI: [VIDEO] Kalah 5 perlawanan berturut-turut, Pep Guardiola tertekan sampai cakar muka09:48 AM
Tambah kenyataan itu, pihak UPNM telah menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan disiplin terhadap kes-kes yang dilaporkan berlaku.
Ujarnya, siasatan tersebut turut dijalankan bersama agensi penguatkuasaan seperti polis.
"ATM turut melaksanakan mekanisme pemantauan. ALK telah menambah pemasangan 21 CCTV baharu di blok penginapan Pegawai Kadet, menjadikan jumlah keseluruhan CCTV di sembilan blok penginapan sebanyak 38 unit, termasuk 17 CCTV sedia ada.
"Kawasan kediaman untuk kadet Tahun 1 kini ditempatkan di Bukit Putera, manakala kadet tahun lain ditempatkan di asrama UPNM.
"Pemisahan ini bertujuan mengurangkan interaksi fizikal antara kadet senior dan kadet Tahun 1," katanya.
ATM turut memaklumkan bahawa rondaan oleh jurulatih telah dipertingkatkan, terutamanya selepas pukul 11 malam.
Selain itu, tambahan kakitangan juga sudah dipohon bagi memastikan pemantauan dijalankan dengan lebih sistematik.
"Untuk jangka masa panjang, dana akan diperoleh bagi memasang CCTV di semua kawasan kediaman kadet," jelasnya.
Seri Paduka Baginda dalam titah sulung selaku Canselor UPNM pada Selasa menggesa semua pihak bekerjasama untuk mengakhiri amalan tidak sihat ini dan memulihkan nama baik universiti berkenaan.
"Ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sini untuk belajar menjadi pegawai tentera, bukan untuk dibuli," titah baginda. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram