SEORANG calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilaporkan maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum melanggar tembok batu di Jalan Kilang Berapi, Merlimau, Melaka pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, kemalangan pukul 7.30 pagi itu berlaku ketika mangsa, Adib Irfan Mohd Nizam, 17, dalam perjalanan ke sekolah untuk menduduki ujian bertutur Bahasa Melayu.
Menurutnya, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum tersebut meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada badan.
BACA LAGI: Laksana hukuman sebat cara syariah di khalayak umum, cadangan Terengganu dapat 'restu' ramai
BACA LAGI: Tiga kali berkhalwat, tukang kayu jadi individu pertama disebat di Terengganu
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal Yamaha LC135 yang ditunggang mangsa dari arah Umbai menghala ke SMK Dang Anum terbabas dan difahamkan mangsa gagal mengawal kenderaan tersebut sebelum melanggar tembok batu di bahu jalan di Jalan Kilang Berapi.
"Akibat kemalangan itu, mangsa cedera parah pada badan dan maut di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ahmad Jamil berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram