SIAPA sahaja yang tidak sebak mendengar khabar mengenai pemergian insan yang banyak menabur bakti dalam kehidupan kita.
Tanpa mereka, mustahil kita dapat menjadi individu yang berguna dan berjaya dalam kehidupan.
Itulah yang dirasai bagi anak murid Cikgu Murdani Abdul Rahman yang disahkan meninggal dunia selepas mayatnya ditemui lemas di Sungai Pahang, Kampung Chenor, Pahang pada Selasa.
BACA LAGI: [VIDEO] Eropah di ambang perang, banyak negara mula kerah aset
Mangsa yang bergelar Penolong Kanan Kokurikulum itu dilaporkan hilang sejak Ahad dan ditemui selepas usaha operasi pencarian gigih dijalankan bagi mengesan jasad mangsa.
Berita mengenai penemuan mayat Murdani menyentuh hati ramai pihak terutamanya anak-anak muridnya yang berasa kehilangan susuk seorang pendidik.
Melalui hantaran di media sosial, ramai pengguna meluahkan rasa sayu di atas pemergian insan yang banyak berjasa itu.
Seorang pengguna, Liza Ibrahim meluahkan bahawa lelaki berusia 53 tahun itu sudah banyak membantu anak-anaknya dari sudut pembelajaran.
"Cikgu yang baik, tidak dapat melupakan jasa insan yang telah mengajar anak-anak saya.
"Saya minta halalkan segala ilmu yang dicurahkan. Semoga cikgu ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah buat Cikgu Murdani," katanya.
Sahabat mangsa, Sharifah Mahmutha Syed Ali turut mengenang kembali tentang sifat mulia mangsa.
"Alhamdulillah. Jasadmu telah ditemukan. Berehatlah, wok. Semoga rohmu ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah buatmu, Murdani.
"Bersaksilah aku bahawa dia seorang yang sentiasa mendahului sahabatnya, dengan hati yang penuh keikhlasan," tulisnya.
Alisah Lisah memuat naik gambar bersama mangsa yang merupakan gurunya.
Anak murid mangsa, Alisah Lisah turut memuat naik gambar di dalam kelas bersama gurunya itu.
"Semoga cikgu tenang di sana, halalkan ilmu yang diberi," tulisnya.
Tidak hanya itu, seorang pengguna, BadrulZarina Mat Dewa menyifatkan mangsa sebagai seorang insan yang tidak lekang dengan senyuman.
"Alhamdulillah, akhirnya jasad Sir Dani timbul jua tidak jauh dari tempat Sir jatuh.
"ALLAH permudahkan segala urusan menuju ke negeri abadi walaupun amat berat hati kami untuk terima pemergian Sir.
"Sembilan tahun bekerjasama dengan arwah. Seorang yang sangat baik hati, suka buat lawak dan sentiasa tersenyum apabila terserempak di dalam sekolah.
"Tenanglah di sana Sir... sesungguhnya ALLAH lebih menyayangi Sir. Dan kami yang di dunia ini akan menyusul kemudian hari," tulisnya.
Jenazah Murdani dihantar ke Hospital Jengka untuk proses bedah siasat sebelum urusan pengebumian.
Mangsa meninggalkan seorang balu, Nooradiwati Mohamed, yang juga seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Jengka 19, serta empat orang anak berusia antara 17 dan 28 tahun.
Dikhabarkan, jenazah akan disembahyangkan di Masjid Jamek Chenor sebelum dibawa pulang ke Kelantan untuk dikebumikan bersebelahan ibu mangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram