KASIH sayang diberikan antara satu sama lain dalam hubungan suami isteri merupakan kunci kebahagiaan dengan pengorbanan merupakan salah satu cara terbaik untuk meluahkan perasaan itu.
Meskipun terpaksa mengharungi liku-liku cabaran, pengorbanan yang dibuat boleh mengeratkan hubungan itu sekiranya satu-satu pihak dapat menghargai apa yang pasangan mereka lakukan.
Namun, dalam satu kisah yang kini tular di media sosial, pengorbanan dilakukan seorang suami terhadap isterinya seperti tidak membawa sebarang perubahan, malah memberi kesan teruk baginya.
BACA LAGI: Platform santai sambil belajar, guru sanggup habis lebih RM7,000 sertai pengakap udara
BACA LAGI: Data adalah 'minyak' baharu, menteri saran guru dan pendidik kuasai teknologi terkini termasuk AI
Kisah itu dikongsikan pengguna Facebook Harima Abd Rahman mengenai kisah seorang rakannya yang merupakan guru di Sarawak dengan 1,001 ujian menimpanya kebelakangan ini.
Guru berkenaan yang nama sebenarnya Izzuddin Izhar atau juga dikenali sebagai Cikgu Din mengalami cabaran dalam hidupnya selepas permintaannya untuk berpindah tidak diluluskan Kementerian Pendidikan (KPM).
Permohonan itu dibuat kerana cikgu berkenaan mahu berada di samping isterinya yang menghidap kanser dan sedang menerima rawatan kemoterapi di sebuah hospital sekitar Kelantan.
"Kena kanser ni kena kuat mental tu satu hal. Tetapi, kesan sampingan rawatan tu satu hal lain pula, belum tentu orang boleh hadap. Jadi, Cikgu Din buat keputusan untuk ulang alik dari Sarawak balik ke Kota Bharu, Kelantan setiap dua minggu.
"Ini dibuat semata-mata untuk teman dan beri semangat buat isteri yang tersayang. Duit, masa dan tenaga, semua perlu dikorbankan. Sampaikan kawan saya terpaksa minta cuti tanpa gaji sebab semua cuti dah diambil," katanya.
Surat yang turut dikongsikan dalam hantaran yang menceritakan nasib Cikgu Din itu. — Facebook/Harima Abd Rahman
Bagaimanapun, rawatan diterima isteri kepada Cikgu Din masih belum mencukupi memandangkan sel kanser di dalam badannya masih aktif, malah membesar berdasarkan semakan doktor.
Perkhabaran berkenaan mendesak guru terbabit untuk membuat permohonan terus kepada Pengarah Pendidikan Negara, namun ditolak atas dasar tempoh perkhidmatannya yang belum mencecah tiga tahun.
Lebih mendukacitakan lagi, Cikgu Din menerima tamparan hebat dalam usahanya apabila terdapat orang atasan yang mengatakan isterinya yang sakit dan kesihatan guru berkenaan tidak terjejas.
Pengorbanan demi pengorbanan dibuat akhirnya memakan diri apabila dia disahkan menghidap tekanan mental atau major depressive disorder (MDD) yang menyaksikannya perlu menerima rawatan.
"Di Semenanjung, dia ulang alik ke hospital menemani isterinya. Di Sarawak, dia ulang alik ke hospital untuk masalah kesihatannya. Malah, lagi malang, walaupun dah sampai tahap ini, dia masih lagi diberi alasan, 'Tukar hanya boleh dibuka kepada Guru Tetap yang Sudah Berkhidmat Selama Tiga Tahun.'
Surat sokongan yang menyatakan situasi sebenar isteri kepada Cikgu Din. — Facebook/Harima Abd Rahman
"Hari ini, isterinya tidak lagi diberikan chemo. Setelah dua kali rawatan chemo diberi, keputusan tetap sama. Sel kanser tidak hilang, malah makin membesar. Doktor tepaksa memutuskan untuk berhentikan segala rawatan aktif sehinggalah memberi isyarat ‘tunggu masa sahaja" tulisnya lagi.
Pengguna Facebook tersebut turut menjelaskan Cikgu Din masih belum menerima sebarang kemas kini mengenai permohonannya untuk pulang dengan rakan sejawatnya berharap permintaan itu akan diluluskan.
"Undang undang ialah undang undang, tapi kita bukan haiwan. Kita manusia yang diberikan kebijaksanaan dan juga rasa belas kasihan. Apa guna kita memamah undang undang kalau hanya untuk merobek sebuah harapan? Apa guna undang undang jika tidak menerbikan rasa ehsan?
"Tiada apa yang saya mahu dari tulisan ini. Saya hanya mahu Cikgu Din berada di sisi isterinya untuk hujung hujung waktu begini. Tapi tulisan saya juga takkan merubah apa apa. Air mata mereka sudah lama kering," tulisnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram