SEMASA berlangsungnya temasya Olimpik 2024 pada pertengahan tahun ini, sebuah jenama fesyen tempatan, Airaz Technologies Sdn Bhd (Airaz) mencuri tumpuan apabila produk keffiyeh keluarannya dipilih untuk diperagakan atlet Palestin ketika kejohanan tersebut.
Apa yang lebih membanggakan, penggunaan keffiyeh iaitu sejenis selendang tradisional Timur Tengah yang sekian lama menjadi simbol perjuangan Palestin oleh Airaz turut dipakai oleh kumpulan atlet negara berkenaan ketika upacara perarakan penutup temasya itu yang berlangsung dari 24 Julai hingga 11 Ogos.
Bagaimanapun, ramai yang tidak begitu mengetahui bahawa pada ketika musim Olimpik berkenaan, Airaz turut menggerakkan kempen protes di Paris sebagai solidariti terhadap kekejaman Zionis terhadap penduduk Palestin.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Langkah berani itu diambil sebagai salah satu cara untuk memberikan kesedaran melalui fesyen terhadap krisis kemanusiaan yang berlaku di wilayah bergolak tersebut.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut berhubung kempen protes dijalankan itu, Majoriti menembual Pengarah Urusan Airaz, Azrul Izzam Kamarul Zaman:
Pengarah Urusan Airaz, Azrul Izzam Kamarul Zaman.
1. Boleh tuan ceritakan bagaimana bermulanya idea untuk melaksanakan kempen berkenaan?
Baik pertamanya, bila bercakap kempen mengenai Palestin ini, kita dah mula lama sejak 2017 lagi. Waktu itu kita buat sikit-sikit menerusi produk tudung dan skaf. Cumanya idea Olimpik di Paris ini berlaku sebab yang pertama kita dalam proses nak berkembang ke Eropah. Jadi kita dah ada banyak rangkaian rakan di Eropah.
Jadi kita nampak dekat situ ada peluang yang mana Olimpik ini antara pentas sukan terbesar di dunia. Jadi bila kita buat protes tu, kita harap ramai pihak yang mendengar akan ambil tindakan untuk lakukan boikot. Jadi daripada situ idea dia kita dapat untuk gunakan peluang ini bagi menyebarkan lagi kesedaran tentang Palestin.
2. Berapa lama diperlukan untuk merancang protes tersebut?
Hampir setahun lebih juga kerana ia bermula sejak 7 Oktober 2023. Sejak itu dah melancarkan kempen daripada Palestin. Daripada situ kita fikir mana lagi kita boleh ambil peluang untuk buat bising supaya dunia boleh ambil perhatian.
Setahun lebih juga kita cuba berhubung dengan kumpulan-kumpulan di sana. Tapi satu-satunya yang berani untuk bekerja sama dengan kita adalah Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Movement.
Antara peserta protes yang berada di venue acara berbasikal di Olimpik Paris.
Yang lain semua tak berani sebab mereka takut ditangkap. Jadi Alhamdulillah daripada situ kita koordinasi dengan mereka mengenai perjalanan, pengangkutan dan penghantaran barang.
Sebab bila kita hantar barang, ada beberapa juga yang tak lepas di pihak kastam negara tersebut sebab dia anggap ia sebagai propaganda dan macam-macam alasan lain seperti bahan propaganda dan menyokong keganasan. Atas alasan tu dia gunakan untuk halang kita punya produk daripada masuk.
3. Boleh ceritakan bagaimana protes tersebut dijalankan
Ok, bila kita buat dekat protes Perancis itu cabaran pertama adalah bagaimana untuk berdepan dengan pihak berkuasa seperti polis.
Sebab di sana memang terang-terang apa sahaja aktiviti menyokong Palestin dianggap aktiviti menyokong pengganas. Jadi kalau kita pakai keffiyeh pun boleh kena saman sampai 200 euro. Pakai sahaja, belum kira protes.
Tapi kita, kita tetap berdegil, kita protes juga. Jadi apa yang berlaku, sehari sebelum protes itu, malamnya kita macam seludup masuk bendera Palestin, keffiyeh dan jersi-jersi Airaz di apartment yang kita ada berdekatan venue.
Untuk protes ini kita pilih untuk buat di acara sukan berbasikal di kawasan terbuka. Sebabnya kita tahu Israel agak kuat juga dalam acara tersebut.
Protes yang dilakukan turut menarik perhatian pihak berkuasa di Paris.
Kalau kita tengok dekat sebelum itu di Barcelona pun ada pertandingan berbasikal yang orang kibar bendera Palestin bila pelumba Israel lalu. Jadi detik itu ada terakam dalam gambar.
Jadi dalam kita protes itu ada juga daripada pasukan kita yang yang juga orang Perancis di sana kena tangkap. Jadi kita terpaksa bayar jaminan dalam 1,000 euro untuk bebaskan dia.
Waktu itu dia ditahan atas alasan menyokong ataupun 'public disobedience'. Tapi di sebalik cabaran tersebut, Alhamdulillah objektif itu tercapailah. Kami satu-satunya jenama dalam dunia, malah satu-satunya kumpulan yang buat protes di luar stadium.
Kalau dalam stadium itu banyak kerana penganjur tak boleh halang sebab Jawatankuasa Olimpik punya peraturan, kalau ada peserta mereka boleh kibarkan bendera mereka. Jadi dia tak boleh halang. Tapi luar daripada stadium kita satu-satunya yang buat.
Di pihak Airaz dengan BDS Movement, saya anggar yang terlibat dalam protes pada waktu itu dalam 200 ke 300 orang. Sebab jumlah sebenar kita tak pasti kerana ramai yang tak nak dedahkan identiti dengan pakai topeng.
Jadi kalau termasuk orang awam sekali kita rasa mungkin dalam 500 orang secara keseluruhan.
4. Adakah protes dijalankan itu mencapai objektif?
Alhamdulillah, saya boleh kata ya dan tidak. Pertama ya kerana daripada segi di Eropah, Alhamdulillah tercapai kerana kita berjaya kerjasama dengan BDS France. Jadi sebelum ini inisiatif BSD ini orang kata ramai tidak ambil serius. Jadi kalau apa kita buat pun memang takkan menjadilah.
Tapi sejak kita buat protes di Olimpik itu, momentum mereka merekrut ahli baharu semakin meningkat dan mereka berjaya buat lagi banyak protes.
Malah, lepas di Olimpik itu, mereka ada juga buat satu lagi protes dalam satu acara marathon. Selain itu, banyak juga media dan surat khabar tempatan yang buat liputan mengenai protes yang kami buat.
5. Semasa temasya tersebut, pakaian jenama Airaz turut diperagakan atlet daripada Palestin. Bolehkah Tuan ceritakan proses bagaimana sehingga Airaz dipilih oleh pasukan atlet Palestin?
Antara atlet Palestin di Olimpik Paris yang mengenakan keffiyeh keluaran Airaz.
Baik, sebenarnya atlet-atlet Palestin di Paris yang dekati kita selepas berita kita buat protes di sana itu tersebar. Sebabnya waktu itu memang tidak ada langsung orang buat protes di luar stadium.
Jadi bila kita buat, benda tu tersebar dan mereka cuba berhubung dengan kita melalui rakan kerjasama ita di Perancis dan pelawa kita pergi makan malam. Jadi waktu makan malam itu kita bagi hadiah dekat mereka. Kita punya keffiyeh itu pun mereka suka sangat.
Jadi daripada situ dia orang pakai. Cumanya sebab mereka orang ada kontrak dengan penaja,Jadi mereka cuma pakai keffiyeh kami.
Jadi bayangkan Palestin ini, keffiyeh adalah simbol utama kepada bangsa Palestin dan pada majlis penutup Olimpik, semua atlet mereka pakai keffiyeh Airaz dengan ada nama Malaysia.
Mereka juga turut bangga ada jenama daripada Malaysia yang sokong dan sanggup ikut apa yang kita buat.
6. Adakah terdapat sebarang tindak balas daripada mana-mana pihak ekoran daripada kempen yang dijalankan itu?
Jadi, pertama sejak Airaz mula menyokong Palestin secara terang-terangan dan agresif ini, kita sebenarnya hadapi banyak sekatan di platform media sosial, Produk-produk kita banyak yang kena 'block' termasuk kedai kita di platform media sosial.
Daripada segi laman web pula, kita berdepan dengan banyak cubaan penggodaman mungkin daripada Israel yang cuba godam kita punya website.
Kita tahu daripada Israel sebab dia cuba masukkan kod nak tukar page Utama Airaz kepada 'I love Israel'. Tapi kita sempat pintas sebelum benda tu berlaku. Jadi cubaan menggodam itu berlaku hampir setiap minggu sampai sekarang pun masih berlaku.
Keffiyeh keluaran Airaz dipakai oleh atlet Palestin ketika upacara penutup Olimpik Paris.
Kemudian kita juga tak boleh nak iklankan di media sosial sebab kita dah kena 'block'. Malah satu akaun media sosial kita pun kena tutup alasanya dia dakwa kita menyokong pengganas.
Jadi bila berlaku macam itu, jualan kita memang agak jatuh menjunam di khususnya di Malaysia. Bagaimanapun, pada masa sama, kita dapati pembelian daripada pelanggan antarabangsa naik.
Itu kesan daripada jualan dan media sosial. Daripada segi syarikat pula, ada juga pelabur kami yang tarik diri sebab sokongan kita terhadap Palestin.
Antara sebab mereka buat macam itu secara asasnya adalah kerana mereka ini ada perniagaan bersama syarikat dari Amerika Syarikat (AS). Jadi mereka juga bimbang jika perkara ini akan beri kesan kepada mereka.
7. Dengan cabaran dan kesukaran dihadapi itu, apa perancangan Airaz daripada segi perniagaan untuk tangani perkara yang berlaku?
Perancangan kita sekarang adalah cuba tambah baik lagi kita punya pemasaran dan gunakan pendekatan lebih strategik termasuk dalam sokongan kita terhadap Palestin.
Jadi, mungkin kita akan cuba asingkan produk normal Airaz dan produk Palestin menerusi jenama atau portal yang berbeza.
Jadi maknanya kita tetap akan terus berjuang untuk Palestin, kita tak akan berhenti. Cumanya kita akan ubah strategi kita yang mana produk seperti tudung dan telekung mungkin kita akan buka jenama baharu.
Kemudian, untuk projek Palestin ini juga kita baru sahaja menandatangani duta rasmi baharu iaitu pempengaruh Daud Kim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram