[VIDEO] Lelaki maut tersepit, lori dipandu hilang kawalan sebelum rempuh tanker minyak di Dengkil


  • 112
  • Ahad, 01 Dis 2024

Tangkap layar video seorang pemandu lori maut selepas terlibat dalam satu kemalangan ngeri di Jalan Dengkil-Banting dekat Dengkil pada Sabtu.

SEORANG pemandu lori maut selepas terlibat dalam satu kemalangan ngeri di Jalan Dengkil-Banting dekat Dengkil, Selangor pada Sabtu.

Kejadian malang itu juga berjaya dirakam kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan orang awam yang berada di tempat kejadian.

Melalui maklumat awal yang dikongsikan, kenderaan yang dipandu mangsa didakwa hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh treler minyak.

Impak daripada rempuhan itu juga menyebabkan kereta mangsa remuk teruk dan lebih mengerikan lagi, mangsa dilihat tersepit di dalam lori tersebut.

BACA LAGI: Tinggal berseorangan di Kulai, warga emas ditemukan maut dengan kesan tikaman

BACA LAGI: [VIDEO] Pakistan Rangers dituduh tolak penyokong Imran Khan sedang berdoa jatuh dari kontena berketinggian 3 tingkat

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Norhizam Bahaman mengesahkan kejadian terbabit.

Katanya, pihak Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 12.10 tengah hari Sabtu.

"Siasatan awal polis mendapati nahas jalan raya itu membabitkan sebuah lori muatan tiga tan dan lori tangki di Jalan Dengkil- Banting.

"Semasa kejadian, lori tiga tan yang dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Dengkil menuju ke Banting.

"Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan mangsa disyaki hilang kawalan lalu terbabas masuk ke jalan bertentangan dan terlanggar bahagian hadapan sebuah lori tangki," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Jelas beliau lagi, nahas itu mengakibatkan mangsa, seorang lelaki tempatan tersepit dalam lori dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Polis masih meneruskan siasatan lanjut bagi menentukan punca kemalangan maut itu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa dihantar ke Hospital berhampiran untuk proses bedah siasat.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian nahas itu diminta menghubungi mana-ana balai polis berhampiran atau IPD Sepang atau menghubungi Inspektor Mohamad Fadzil Zainol Abidin di talian 019-6488474," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram