PERDANA Menteri Georgia, Irakli Kobakhidze, menegaskan bahawa negaranya tidak akan membenarkan situasi seperti Maidan (rampasan kuasa) di Ukraine berlaku.
Beliau merujuk kepada rampasan kuasa di Kiev sedekad lalu yang menggulingkan presiden Ukraine yang dipilih secara demokratik, mencetuskan ketegangan dalaman, dan menyumbang kepada konflik semasa antara Ukraine dan Rusia.
"Berbeza dengan Ukraine pada 2013, Georgia ialah sebuah negara merdeka dengan institusi yang kukuh dan, yang paling penting, rakyat yang berpengalaman dan bijaksana.
BACA LAGI : [VIDEO] Pesawat latihan terhempas, 2 juruterbang termasuk kapten wanita maut di Ecuador
BACA LAGI : [VIDEO] Penduduk Tumpat 'mengamuk', tahan lori redah air banjir lepas rosakkan tembok banjir
"Senario Maidan tidak boleh direalisasikan di Georgia. Georgia adalah negara berdaulat dan tidak akan membenarkan ini berlaku.
"Georgia ialah sebuah negara merdeka dan tidak akan membenarkan perkara ini berlaku," katanya pada satu persidangan Sabtu lalu, seperti yang dilaporkan News Georgia.
Tambah Kobakhidze lagi, pergolakan politik semasa di Georgia berpunca daripada campur tangan ahli politik Kesatuan Eropah (EU) dan operasi 'rahsia; mereka dalam urusan negara.
Beliau mendakwa, protes ganas baru-baru ini diatur oleh ejen tempatan dan empat kumpulan pembangkang, yang beliau labelkan sebagai 'gerakan kelima'.
"Ahli politik dan birokrat Eropah, bersama wakil tempatan mereka daripada empat parti pembangkang merupakan mereka yang bertanggungjawab terhadap perhimpunan protes ganas yang berlaku pada Jumaat lalu," tambah beliau.
Media antarabangsa melaporkan protes itu mula tercetus sejak akhir bulan lalu selepas Parti Georgian Dream memenangi pilihan raya parlimen.
Parti itu, yang dikenali kerana mendukung hubungan pragmatik dengan jiran termasuk Rusia, baru-baru ini meluluskan undang-undang kontroversi yang dikenali sebagai "undang-undang ejen asing."
Perdana Menteri Georgia, Irakli Kobakhidze, mendakwa, protes ganas baru-baru ini diatur oleh ejen tempatan dan empat kumpulan pembangkang, yang beliau labelkan sebagai 'gerakan kelima'. — Agensi
Pada Jumaat lalu, polis menyuraikan demonstrasi anti-kerajaan di Tbilisi dengan menggunakan gas pemedih mata dan meriam air.
Kobakhidze mengutuk demonstrasi itu sebagai 'serangan terhadap perlembagaan negara' dan memuji tindakan polis yang berjaya menghalang penunjuk perasaan daripada menyerbu bangunan parlimen.
Sementara itu, Presiden Georgia, Salome Zourabichvili, yang telah lama berselisih dengan kerajaan pimpinan Georgian Dream, bukan sahaja menolak keputusan pilihan raya tetapi juga menyeru rakyat untuk turun ke jalanan.
Pada masa sama, EU menyokong pembangkang dengan mendakwa pilihan raya tersebut 'tidak bebas dan tidak adil', serta menggesa pilihan raya baru diadakan.
Kementerian Dalam Negeri Georgia melaporkan 107 individu ditahan perhimpunan protes ganas yang berlaku sejak Jumaat lalu. — Agensi
Pada September lalu, Perkhidmatan Perisikan Luar Rusia (SVR) mendedahkan dakwaan bahawa Jabatan Negara AS merancang mahu menyokong pembangkang Georgia dalam rampasan kuasa dengan mencetuskan protes besar-besaran menjelang pilihan raya Parlimen pada 26 Oktober.
Dalam satu kenyataan, SVR mendakwa rancangan Washington menyokong pembangkang pro-Barat di Georgia mengadakan demonstrasi besar bagi merebut kuasa secara paksa dengan alasan kononnya kerajaan pimpinan Georgian Dream gagal menjalankan pilihan raya secara bebas dan adil.
Pada Mei lalu, Parlimen Georgia meluluskan rang undang-undang ejen asing yang mewajibkan individu dan organisasi yang menerima dana dari luar negara didaftarkan.
Undang-undang itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pembangkang dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa ia bertujuan menyekat aktiviti mereka sekali gus mencetuskan protes yang terus berlangsung hingga kini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram