STAR Media Group (SMG) menerima Anugerah Ikon Kepimpinan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) di Anugerah Kecemerlangan Kelestarian Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Alex Yeow Wai Siaw mendedikasikan anugerah itu kepada pasukan kandungan syarikat (content team) atas usaha mereka dalam perkara berkaitan SDG.
"Saya gembira kerana The Star sekali lagi diiktiraf untuk satu lagi pencapaian dan anugerah ini telah mengiktiraf kami sebagai syarikat penerbitan arus perdana berbahasa Inggeris yang paling terkemuka di negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima anugerah itu pada Sidang Kemuncak Kepimpinan Kelestarian Malaysia di Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur pada Ahad.
Yeow berkata, SMG akan terus memberi tumpuan untuk menghasilkan penulisan meliputi lebih banyak topik berkaitan SDG dalam penerbitan bahasa Melayu.
"Kami akan menggalakkan lebih banyak liputan mengenai SDG dalam bahasa Melayu supaya pembaca daripada segmen tersebut boleh mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai perkara itu," katanya.
Anugerah Kecemerlangan Kelestarian Malaysia diperkenal bagi meraikan, memberi penghormatan dan mengiktiraf syarikat cemerlang yang memajukan serta mempercepat penggunaan tadbir urus korporat, alam sekitar dan sosial (ESG) di samping berjaya memupuk budaya kemampanan.
Sidang kemuncak itu antara lain bertujuan menggalakkan perbincangan dan pertukaran pandangan, pengetahuan dan pengalaman tentang ESG serta SDG antara korporat dan pihak yang menitikberatkan amalan SDG seperti disyorkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sidang kemuncak yang memasuki tahun kedua itu juga melibatkan dua sesi panel informatif untuk meningkatkan tahap ESG dan tanggungjawab korporat bagi kemampanan selain meneroka lebih banyak kaedah memajukan SDG.
Sementara itu, Presiden Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik, Tan Sri Michael Yeoh berkata, sidang kemuncak kedua itu menonjolkan bagaimana kerjasama dan perkongsian dapat memacu pembangunan mampan.
"Dengan menghimpunkan pemimpin daripada pelbagai sektor, kita telah memperoleh perbincangan bermakna dan mengenal pasti tindakan lebih jelas untuk masa depan yang lebih mampan,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menerusi ucaptamanya menyeru lebih banyak kerjasama melibatkan sektor awam dan swasta bagi melaksanakan SDG di Malaysia.
"Kerjasama sebenar diperlukan untuk memastikan pelaksanaan semua strategi dan inisiatif.
"Saya ingin mengulangi komitmen saya dengan menyeru kerjasama awam-swasta yang sebenar ke arah mencapai SDG 2030 untuk Malaysia.
"Dengan kerjasama ini, kita boleh melaksana perubahan dan memastikan tiada siapa yang akan ketinggalan seiring dengan konsep 'Malaysia Madani'," ujarnya dalam ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian, Farah Adura Hamidi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram