Lepas bantu bina mercu Merdeka 118, Graphisoft kini perkukuh tapak di Malaysia, buka peluang kerjasama dengan perniagaan tempatan


  • Bizz
  • Jumaat, 29 Nov 2024

Graphisoft merupakan syarikat perisian produk BIM dikenali sebagai Archiad yang digunakan dalam mereka bentuk bangunan mercu di Kuala Lumpur, Merdeka 118.

SYARIKAT peneraju perisian Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM), Graphisoft kini terus mengukuhkan kehadirannya di Asia, terutamanya di Malaysia.

Perkembangan itu didorong antara lain peningkatan permintaan terhadap BIM dan transformasi digital yang berlaku dalam sektor seni bina, kejuruteraan dan pembinaan (AEC).

Di Malaysia, Kerajaan turut mula mengiktiraf kepentingan perisian tersebut lebih-lebih lagi dalam menambah baik amalan pembinaan di dalam negara.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Sebagai contoh, terdapat peraturan mewajibkan penggunaan BIM bagi projek pembinaan awam dan swasta yang bernilai melebihi RM10 juta.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Graphisoft, Daniel Csillag, langkah kawal selia ke arah penggunaan BIM itu disifatkan sejajar dengan misi syarikatnya yang mahu membantu arkitek dan jurutera bagi melaksanakan tugasan mereka bentuk dengan lebih cekap dan mapan.

Ia dipacu antara lain menerusi perisian mercu syarikatnya yang dikenali Archicad.

Photo 3

Dari kiri: Ketua Pegawai Produk, Marton Kiss; Daniel dan Ketua Pegawai Kejayaan Pelanggan Graphisoft, Gergely Kmethy ketika sesi meja bulat bersama media di Malaysia baru-baru ini.

"Peranan kami adalah untuk menyediakan alat yang memperkasakan profesional industri untuk memenuhi piawaian baharu ini dan mencapai peningkatan bermakna dalam produktiviti dan kemapanan," katanya ketika berucap semasa kunjungannya ke Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam pada itu, kehadiran Graphisoft di Malaysia turut ditandai dengan kejayaannya memeterai kerjasama strategik bersama beberapa pihak berkepentingan.

Antaranya termasuk jalinan kerjasama bersama Kumpulan IME bagi membolehkannya menyediakan penyelesaian setempat, latihan dan sokongan bagi melancarkan penggunaan BIM.

Melalui perkongsian tersebut, Graphisoft menyediakan sumber diperlukan bagi profesional menggunakan BIM dengan berkesan, seterusnya meningkatkan produktiviti merentasi landskap pembinaan Malaysia.

Antara kerjasama di peringkat tempatan yang dilaksanakan adalah menerusi kerjasama dengan badan kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan majlis tempatan bagi memastikan perisiannya, Archicad memenuhi piawaian kawal selia dan matlamat infrastruktur Malaysia.

Langkah itu sekali gus memudahkan integrasi BIM yang lancar merentas projek awam dan swasta.

Tidak cukup dengan itu, strategi meluaskan kehadiran pasarannya di Malaysia juga memberikan tumpuan bagi menyokong pendidikan dan penjajaran dengan industri.

Misalnya, Graphisoft turut bekerjasama dengan institusi pendidikan seperti Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk mengintegrasikan Archicad ke dalam kurikulum seni bina dan kejuruteraan mereka.

6213216380816311144

Setiap ciri ditampilkan dalam Archicad direka bagi membantu arkitek memberikan fokus terhadap aspek kreatif dan mengurangkan tugasan yang memakan tenaga serta masa. — Agensi

"Dengan memperkenalkan Archicad ke universiti, kami bukan sahaja melabur dalam pertumbuhan kami sendiri tetapi dalam generasi akan datang profesional berkebolehan BIM yang akan membentuk persekitaran terbina masa depan," katanya.

Archicad merupakan perisian seni bina yang memainkan peranan penting beberapa projek pembangunan mercu di Malaysia termasuk pembinaan menara bangunan pencakar langit kedua tertinggi di dunia, iaitu Merdeka 118.

Namun, tidak mudah berpuas hati dengan apa yang dicapai, Graphisoft menunjukkan komitmennya bagi terus melaksanakan inovasi dan menambah baik produk perisiannya.

Ini dibuktikan apabila Archicad kini turut dilengkapi dengan sistem Keynotes automatik, integrasi maju Rhino-Grasshopper untuk reka bentuk parametrik dan visualizer dikuasakan kecerdasan buatan (AI) untuk bantuan visual lebih pantas.

Setiap ciri tersebut membantu arkitek memberikan fokus terhadap aspek kreatif dan mengurangkan tugasan yang memakan tenaga serta masa.

Pada masa sama, alat Graphisoft, terutamanya analisis tenaga Archicad dan ciri penilaian kitaran hayat, memudahkan keputusan reka bentuk yang mapan.

Dengan membolehkan arkitek menilai kesan alam sekitar projek mereka, Graphisoft membantu industri pembinaan Malaysia sejajar dengan piawaian bangunan hijau global.

Lebih menarik, aspek yang melengkapkan arkitek dengan alat bagi membantu mereka mengurangkan kesan alam sekitar dimulakan dari peringkat awal reka bentuk.

Kewujudan ciri tersebut pastinya selari perkembangan dalam sektor AEC di Malaysia khususnya melibatkan beberapa projek infrastruktur mega seperti Kereta Api Kelajuan Tinggi KL-Singapura yang tentunya akan memberikan penekanan terhadap aspek kemapanan termasuk amalan pembinaan mesra alam.

Dalam pada itu, usaha Graphisoft untuk meningkatkan lagi perkhidmatan perisiannya juga melibatkan penerimaan maklum balas daripada pelanggan yang ketika ini turut menjadi antara penyumbang utama kejayaan produknya.

Melalui peta jalan awam dan Program Pratonton Teknologi, syarikat terbabit berjaya mengumpulkan cerapan daripada pengguna untuk memperhalusi fungsi Archicad.

Strategi pembangunan berasaskan pengguna itu meningkatkan kebolehgunaan perisiannya dan menangani lebih 100 isu yang tidak dapat dikesan sekali gus membolehkan pengguna sentiasa mendapat pengalaman sentiasa ditambah baik.

Dengan visi untuk terus mengembangkan kehadirannya di Malaysia, Graphisoft kini terus menggerakkan strateginya untuk menyesuaikan diri dengan permintaan pasaran di samping memupuk perkongsian menerusi pelbagai kerjasama dan inisiatif pendidikan.

6213216380816311146

Archicad turut dilengkapi dengan visualizer yang dikuasakan kecerdasan buatan (AI) untuk bantuan visual lebih pantas. — Agensi

Antara langkah diatur termasuk melalui pembukaan peluang kerjasama bersama perniagaan tempatan untuk memanfaatkan Archicad dengan melibatkan diri dalam platform pembelajaran dan komuniti syarikat yang dikenali sebagai Graphisoft Learn.

Program itu menawarkan rangkaian komprehensif bahan latihan kendiri yang disokong tenaga pengajar, membantu perniagaan menguasai kemahiran BIM dan maklumkan kemas kini terkini produknya.

Selain itu, Komuniti Graphisoft menyediakan ruang kerjasama untuk pengguna mengakses bimbingan pakar dan berkongsi maklum balas.

Dengan mengambil bahagian dalam inisiatif ini, perniagaan tempatan boleh meningkatkan proses reka bentuk mereka, meningkatkan hasil projek dan mengukuhkan kedudukan daya saing mereka dalam sektor seni bina dan pembinaan.

"Kami komited menjadi rakan kongsi jangka panjang untuk industri AEC di Malaysia.

"Matlamat kami bukan sahaja menyediakan perkhidmatan teknologi canggih tetapi mengambil bahagian secara aktif dalam pertumbuhan tenaga kerja berkemahiran BIM dan industri pembinaan mapan," ujarnya.

Archicad Graphisoft kini digunakan arkitek dan pakar reka bentuk di lebih 100 negara dengan ia tersedia dalam 29 bahasa dan konteks tempatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram