SERAMAI 13 remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Tawau pada Selasa atas pertuduhan membunuh seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di Kolej Vokasional Lahad Datu, Sabah pada Mac lalu.
Memetik laporan Buletin TV3, mahkamah menetapkan 10 hari tempoh perbicaraan dengan tarikh perbicaraan masing-masing bermula 18 hingga 20 November dan 25 hingga 29 November nanti.
Kesemua tertuduh yang berpakaian serba putih akan ditahan reman di Jabatan Penjara Tawau bermula Selasa sementara menunggu tarikh perbicaraan.
BACA LAGI: 13 remaja didakwa bunuh pelajar Kolej Vokasional di Lahad Datu
BACA LAGI: Badan penuh lebam, Muhd Nazmie Aizat maut kena belasah dalam asrama kolej vokasional di Lahad Datu
Muhd Nazmie Aizat ditemui mati di bilik asrama dipercayai dibelasah rakan dalam kejadian di sebuah kolej vokasional di Lahad Datu. — PDRM
Dalam prosiding itu juga, kesemua tertuduh menjawab faham terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.
Dalam pada itu, pihak pendakwaan dijangka memanggil seramai 10 hingga 12 orang saksi untuk memberi keterangan sepanjang tempoh perbicaraan itu.
Terdahulu, media melaporkan, kesemua remaja berusia 16 hingga 19 tahun itu dituduh bersama-sama membunuh Mohammad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu kira-kira pukul 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac.
Mangsa adalah penghuni asrama kolej berkenaan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Hospital Lahad Datu yang hadir untuk memberikan rawatan kecemasan.
Berdasarkan siasatan polis, terdapat kesan kecederaan dan lebam di beberapa bahagian tubuh mangsa dan mengenal pasti punca kejadian adalah disebabkan perselisihan faham antara mangsa dengan penghuni-penghuni asrama yang lain.
Polis juga merampas alat pengecas telefon pintar yang dipercayai berkait dengan siasatan kes tersebut.
Sementara itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun, namun tidak melebihi 40 tahun dan tidak lebih 12 sebatan jika sabit kesalahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram