SERAMAI 208 orang yang terdiri dari murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) melibatkan sekolah rendah dan menengah, barisan guru dan pegawai menyertai sesi perkhemahan Perkhemahan Pendidikan Khas Eksplorasi Gunung Arung tersebut yang berlangsung pada 25 hingga 27 November lalu.
Sesi perkhemahan itu merupakan anjuran Sektor Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor dan dikelola oleh Unit Pendidikan Khas, Pejabat Pendidikan Daerah Mersing dengan objektif untuk memberikan pengalaman berbeza kepada MBPK dalam rangka memperluas pendedahan baru di luar bilik darjah.
Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Khas JPN Johor, Yahaya Ali berkata, selain memberi pengalaman baharu, program tersebut juga bertujuan untuk memberi ruang kepada MBPK bergaul dan membina keyakinan diri serta memupuk semangat kerjasama, disiplin, dan jati diri yang tinggi.
BACA LAGI: [VIDEO] M Nasir terima gelaran doktor, label UPSI antara institusi penyokong seni
“Pengalaman ini akan meninggalkan kesan yang mendalam dalam perjalanan kemenjadian diri murid berkeperluan pendidikan khas, membantu membentuk anak-anak kita menjadi individu yang berkeyakinan dan berpotensi untuk menyumbang kepada masyarakat di masa hadapan”, katanya.
Yahaya Ali ketika berucap pada Majlis Penutupan Perkhemahan Pendidikan Khas Eksplorasi Gunung Arung
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penutupan Perkhemahan Pendidikan Khas Eksplorasi Gunung Arung Peringkat Negeri Johor yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Tanjong Resang, Mersing.
Turut hadir bersama, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Mersing, Othman Yunos; Pegawai Bidang Khusus (3PK) JPN Johor, Muhammad Aliff Zaini dan Guru Besar SK Tanjung Resang, Norlaila Md Ali.
Sementara itu, Othman berkata, perkhemahan ini dianjurkan bagi memberi ruang kepada MBPK untuk menikmati dunia alam sekitar yang penuh dengan keindahan dengan dihiasi aktiviti yang dapat meningkatkan perkembangan sekali gus memberikan pengalaman bermakna dalam hidup mereka.
Peserta program perkhemahan mengabdikan kenangan.
Manakala Abdul Hakam Izzat Abd Rahman selaku kem komandan menyatakan bahawa kem ini adalah peluang bagi MBPK untuk belajar beradaptasi dengan hal baru dam mampu perkembangan MBPK dari segi kognitif, psikomotor dan daya tahan tubuh mereka.
Sektor Pendidikan Khas JPN Johor pastinya akan terus komited dalam menerajui kemenjadian MBPK dan menyokong kecemerlangan dari pelbagai aspek dan bidang.
Peserta bersemangat untuk menyertai acara perkhemahan yang dianjurkan.
Tidak hanya itu juga, JPN Johor juga akan sentiasa membuka ruang untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk bersama meningkatkan mutu pendidikan khas dan merealisasikan program berimpak tinggi yang akan memberi impak positif kepada murid di negeri Johor.
Bagi perancangan kedepan, pastinya akan dianjurkan lagi program seperti ini dengan nama “Kem Kemahiran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas Negeri Johor” yang akan dikelola penuh oleh Pejabat Pendidikan Daerah Segamat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram