Polis selamatkan remaja perempuan dipercayai diculik di Shah Alam


  • 112
  • Selasa, 26 Nov 2024

Hoong Fong (gambar kecil) berkata lokasi pertama bapa mangsa dimaklumkan untuk mengambil anaknya di Subang, Selangor.

POLIS menyelamatkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dipercayai diculik dan memberkas tujuh individu termasuk dua wanita.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa menyatakan anaknya keluar rumah pukul 4 petang dan tidak pulang sehingga pukul 6.30 petang.

Beliau berkata, bapa mangsa cuba menghubungi telefon bimbit anaknya, namun menerima pesanan suara yang menimbulkan persoalan mengenai keberadaan mangsa.

BACA LAGI : [VIDEO] Kami reda kehilangan Naura, arwah adalah satu-satunya anak tunggal kakak saya — Ayah saudara

BACA LAGI : [VIDEO] 'Mata tak nampak baru lepas operate', ibu meraung lihat kereta anak remuk kemalangan di Temoh

"Susulan itu, bapa mangsa membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan anak gadisnya itu.

"Pesanan suara yang diterima meminta pengadu untuk mengambil mangsa di kawasan Subang, Selangor dan anaknya ketika itu bertengkar dengan seorang lelaki dipercayai suspek.

"Menerusi lokasi kedudukan mangsa yang dihantar, bapa kepada remaja perempuan itu telah ke lokasi diberikan tetapi mangsa tiada di kawasan terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

WhatsApp-Image-2022-02-19-at-17.13.15

Asisten Komisioner Cha Hoong Fong

Tambah beliau lagi, pengadu seterusnya menerima pesanan menerusi aplikasi WhatsApp menyatakan suspek akan melepaskan mangsa di Kuala Lumpur.

"Bapa mangsa menyatakan kepada suspek untuk membuat laporan polis dan tindakan itu menyebabkan suspek mengugut mahu menjual mangsa serta meminta membayar ganti rugi jika hendak pulangkan gadis tersebut.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis telah membuat serbuan di sebuah pangsapuri di I-City, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor pada 18 November pukul 11 malam," ujarnya.

Dalam serbuan itu, katanya, polis berjaya menyelamatkan mangsa dalam keadaan selamat dan menahan tiga suspek lelaki serta dua wanita berusia 15 hingga 19 tahun.

Beliau berkata, menerusi serbuan pertama itu, tangkapan susulan dibuat pada 19 November pukul 1.10 pagi di pekarangan Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur.

Kata beliau, dua suspek lelaki berusia 16 dan 18 tahun telah ditangkap dalam tangkapan kedua itu.

Menurutnya, kesemua suspek yang ditangkap tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

"Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana mengambil atau memikat kanak-kanak perempuan berumur 16 tahun ke bawah tanpa kerelaan penjaga yang sah," ujarnya.

Tambahnya, permohonan reman telah dibenarkan selama sehari terhadap empat suspek berusia 18 tahun ke bawah, manakala suspek lain direman selama empat hari sehingga 22 November lalu.

Katanya lagi, semua suspek telah dijamin dan kertas siasatan sedang dilengkapkan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes tersebut untuk tampil membantu siasatan.

"Mereka boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram