
KERAJAAN Selangor kini membenarkan lima aktiviti dilaksanakan di rizab sungai dengan syarat pematuhan kepada garis panduan tertentu, dalam usaha menangani pembuangan sampah haram dan memastikan sungai terus berfungsi dengan baik.
Aktiviti yang dibenarkan termasuk tapak semaian tanaman, tanaman kontan, tempat letak kereta, landskap seperti taman dan infrastruktur awam termasuk jalan raya.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, langkah tersebut juga bertujuan mengurangkan aktiviti haram di kawasan rizab sungai.
BACA LAGI: JPS bimbang hakisan tebing, tanah rizab perlu untuk tujuan naik taraf, lebarkan Sungai Kayu Ara
BACA LAGI: 'Doa saya dimakbulkan,' bapa Zulfarhan mahu kes anaknya jadi pengajaran untuk pembuli
“Kerajaan negeri membenarkan aktiviti terpilih dilaksanakan untuk menangani masalah pembuangan sampah haram sambil memastikan sungai masih berfungsi seperti biasa.
“Bagaimanapun, kelulusan hanya diberikan tertakluk kepada syarat tertentu seperti penyediaan akses untuk jentera dan peralatan penyelenggaraan serta larangan pembinaan struktur kekal,” katanya di Wisma Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, Selangor, pada Selasa.
Izham menambah, kelulusan adalah bersifat sementara berdasarkan pajakan.
Menurutnya, jika kerajaan memerlukan rizab tersebut untuk projek masa depan seperti mitigasi banjir, pihak yang mengendalikan aktiviti di kawasan itu perlu menyerahkan semula tapak berkenaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa garis panduan penggunaan rizab sungai telah diluluskan oleh Jawatankuasa Perancangan Negeri (JPN) tahun lalu.
"Semua permohonan perlu melalui Pejabat Daerah dan Tanah sebelum dirujuk kepada agensi teknikal seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) untuk mendapatkan pandangan sebelum sebarang kelulusan diberikan.
“Kerajaan negeri juga sedang mempertimbangkan aktiviti lain untuk dimasukkan dalam garis panduan ini, seperti pembinaan jeti, restoran tepi sungai, serta inap desa dan calet,” tambahnya.
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa tiada pembangunan dibenarkan di dataran banjir kerana kawasan tersebut rendah dan mudah dinaiki air ketika hujan.
Terdahulu, ketika sesi perbahasan Dewan Negeri Selangor, Jefri Mejan (PN-Ijok) membangkitkan isu perubahan status tanah rizab sungai di Sungai Buloh.
Beliau melahirkan kebimbangan mengenai tebing sungai yang dipenuhi sampah sehingga mengurangkan kapasiti sungai dan menyebabkan banjir.
"Langkah kerajaan ini dilihat sebagai usaha untuk mengimbangi keperluan pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar," ujarnya. — The Star/JADE CHAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram