'Manja sangat', netizen selar bapa pertahan anak gagal, anggap ujian titi JPJ tak relevan


  • Massa
  • Jumaat, 22 Nov 2024

Melintasi titi sempit merupakan salah satu komponen perlu ditempuhi pelajar yang mahu mengambil lesen motosikal.

KEMAHIRAN diperlukan seseorang yang mengambil lesen kenderaan, terutamanya lesen menunggang motosikal kerana mereka perlu melepasi ujian ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Meskipun kelas disediakan jabatan berkenaan, perasaan gugup ketika berdepan pegawai menyebabkan sesetengah daripada pelajar gagal memperolehi lesen untuk menunggang kenderaan terbabit.

Bagaimanapun, mereka tidak perlu kecewa kerana peluang masih tersedia untuk menebus hal berkenaan kerana mereka boleh menjalani ujian sehingga memenuhi kriteria ditetapkan.

BACA LAGI: PJ tetap kadar RM160 'upgrade' lesen motosikal

BACA LAGI: Hati-hati iklan tawar lesen memandu tanpa kelas, ujian — JPJ

Tetapi, kadang kala, ada yang gagal menerima keputusan itu sehingga mempersoalkan kredibiliti pegawai JPJ selain mempertikaikan halangan ditetapkan organisasi berkenaan.

Baru-baru ini, tampil seorang pengguna Facebook menyuarakan perkara berkenaan selepas anaknya difahamkan gagal melepasi ujian titi yang merupakan komponen pertama perlu ditempuhi.

WhatsApp Image 2024-11-22 at 4.53.10 PM

Hantaran berhubung perkara itu sudah dipadam susulan kecaman diterima daripada orang ramai.

"Okay, jadi anak perempuan saya mengambil lesen motosikal semalam dan dia gagal kerana terjatuh daripada titi.

"Saya kata, ia adalah ujian merepek kerana sepanjang 30 tahun saya menunggang motosikal, saya tidak pernah berdepan situasi perlu melintasi titi sesempit itu," katanya.

Tambahnya lagi, anaknya akan menjalani ujian berkenaan sekali lagi pada Disember dengan dia juga sempat menyertakan harapan supaya halangan itu dapat ditempuhi lebih baik.

Hantaran di Facebook itu menerima respons daripada orang ramai dengan ada yang berkongsi perkara terbabit di pelbagai platform media sosial lain, sekali gus menyaksikannya hangat diperkatakan.

Namun, ada yang bertindak melontar kecaman terhadap individu berkenaan kerana masing-masing menganggap ujian melintasi titi sempit itu dapat menguji kebolehan mengawal kenderaan dua roda itu.

WhatsApp Image 2024-11-22 at 4.58.16 PM

Beberapa komponen perlu ditempuhi mereka yang mahu memperolehi lesen menunggang motosikal.

"Cikgu memandu nak ajar pandu sehingga cepak, bukan suka-suka dan berseronok di atas titi itu. Lain kali, apabila sudah mendapat lesen, ada halangan di jalan raya, dapatlah anak awak melepasi kerana dapat mengawal keseimbangan badan serta motosikal," kata Nur Farah Ain.

"Seumur hidup tidak pernah tunggang motosikal, lepas itu mulalah persoal macam-macam. Keseimbangan penting kalau tunggang motor, lebih-lebih lagi ketika mahu meredah kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur," kata Syamil Ruzelan.

"Ujian inilah yang paling penting kalau tunggang motosikal ketika kesesakan kerana mahu melalui tengah-tengah kereta. Ia menguji kita seimbang atau tidak ketika menunggangnya," kata Andrian Adin.

Berdasarkan ketetapan JPJ, seorang penunggang perlu melintasi titi berkenaan di bawah tempoh tujuh saat tanpa terjatuh sebelum boleh mara ke cabaran seterusnya.

Berikutan kecaman diterima pengguna media sosial lain, individu tersebut bertindak memadam hantaran tersebut, namun ia sudah ditangkap layar serta dibincangkan orang ramai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram