LELAKI berusia 53 tahun yang ditahan berikutan kes pembunuhan ibunya sebelum disimpan di dalam peti sejuk beku di Taman OUG, Seputeh, Kuala Lumpur (KL) akan didakwa pada Selasa.
Ketua Polis KL, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, suspek akan didakwa selepas temoh remannya tamat.
"Kertas siasatan sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada awal Isnin dan AGC sudah membenarkan suspek didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.
BACA LAGI: Lama sangat dalam peti sejuk beku, 'post-mortem' mayat wanita kena tangguh tunggu organ mencair
BACA LAGI: [VIDEO] Pesta bertukar tragedi, kematian wanita dalam bilik sejuk beku masih misteri

Mangsa diletakkan di dalam peti sejuk beku selepas dibunuh.
"Kami sudah merekodkan keterangan daripada 13 individu berhubung siasatan kes ini," katanya.
Sebelum ini, laporan menyatakan punca kematian wanita yang juga ibu kepada suspek adalah disebabkan kecederaan di dada akibat hentakan objek tumpul.
Bagaimanapun, polis masih menunggu laporan bedah siasat yang lengkap.
Suspek sebelum ini dibenarkan keluar dari hospital pada Rabu lalu selepas menerima rawatan sebelum dikenakan tahanan reman sehingga Selasa.
Pada 12 November lalu, tindakan suspek terbongkar selepas polis memeriksa rumah dua tingkat didiaminya sekitar Taman OUG.

Rusdi sebelum ini mengesahkan suspek sudah ditahan reman selepas menerima rawatan di hospital.
Suspek menghubungi polis dan memberitahu dirinya tidak sihat selain turut mendedahkan dia memasukkan mayat ibunya ke dalam peti sejuk.
Difahamkan, suspek mempunyai isu kewangan selain masalah kesihatan kronik.
Polis mengenal pasti perselisihan pendapat antara mangsa dan suspek sebagai motif di sebalik pembunuhan itu sementara sumber mengatakan pertikaian itu adalah berhubung isu agama.
Polis juga percaya mayat mangsa disimpan di dalam peti sejuk beku sejak 2021. — The Star/FARIK ZOLKEFLI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
