MAHKAMAH dalam prosiding sivil pada Khamis memutuskan lelaki warga Taiwan yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada Januari lalu atas kesalahan membunuh seorang pelajar Malaysia dikehendaki membayar pampasan lebih NT$6 juta (kira-kira RM876,000) kepada keluarga mangsa, lapor Agensi Berita Pusat (CNA).
Mahkamah Daerah Shilin menyatakan bahawa Chen Po-yen mesti membayar NT$3,010,355 (kira-kira RM414,000) dan NT$3,369,999 (kira-kira RM467,000) kepada ibu dan bapa mangsa, dengan faedah dikira setiap tahun pada kadar lima peratus bermula Ogos 2023.
Keputusan mahkamah itu bagaimanapun masih boleh dirayu.
BACA LAGI: [VIDEO] Sampai 3 kereta berhenti mengejut cuba elak budak kecil main sendirian di tengah jalan
Chen yang berusia 30 tahun semasa kejadian, kini menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana mencekik dan membunuh penuntut universiti wanita yang dikenali sebagai Chai, pada Oktober 2022.
Mahkamah mendapati Chen bersalah atas tuduhan membunuh pada Januari dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Taiwan pada Jun.
Menerusi pernyataan mahkamah pada Januari, Chen mengaku bersalah telah mencekik Chai sehingga mati di pangsapuri sewanya, selepas Chai enggan memulangkan sebahagian daripada NT$99,999 (kira-kira RM14,000) yang sebelum ini dipindahkan ke akaunnya.
Chai yang berusia 24 tahun semasa kematiannya, menuntut di sebuah universiti di Taipei dan bekerja sebagai model sambilan serta penyiar langsung di media sosial.
Mayat wanita itu ditemukan di kediamannya di Daerah Shilin Taipei pada 13 Oktober 2022.
Bedah siasat yang dijalankan pada 16 Oktober mendapati mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas dan lehernya turut patah.
Kematian pelajar tersebut didedahkan pada 13 Oktober tahun lalu oleh polis New Taipei selepas Chen mendedahkan dia telah membunuh mangsa, semasa dikejarkan ke hospital selepas cuba membunuh diri.— The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram