Lama sangat dalam peti sejuk beku, 'post-mortem' mayat wanita kena tangguh tunggu organ mencair


  • 112
  • Isnin, 18 Nov 2024

Mayat wanita yang ditemui di dalam peti sejuk pada minggu lepas masih mencair. — Gambar Hiasan

PAKAR patologi forensik memerlukan lebih banyak masa untuk menjalankan proses bedah siasat ke atas mayat wanita yang ditemui di dalam peti sejuk beku pada minggu lepas susulan organ dalamannya itu masih mencair.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pasukan Pusat Perubatan Universiti Malaya perlu mencairkan organ dalaman mangsa sebelum meneruskan proses bedah siasat.

"Organ dalaman memerlukan masa untuk dinyahbekukan kerana mayat sudah agak lama berada di dalam peti sejuk beku," katanya pada sidang media di ibu pejabat polis Brickfields pada Isnin.

BACA LAGI: [VIDEO] Mengigau sebut nama, ibu hamil tak sangka anak jadi mangsa bunuh, rogol ketika balik sekolah di Bayunwangi

BACA LAGI: [VIDEO] Angkara hujan lebat, pemandu wanita tak perasan kereta terjunam sampai tenggelam dalam tasik dekat pusat beli-belah The Mines

3013092

Polis menemui mayat seorang wanita yang disimpan dalam peti sejuk beku selepas dipercayai dibunuh oleh individu disyaki anaknya sejak 2021 di sebuah rumah di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada Selasa lepas.

Ku Mashariman berkata, reman bagi suspek berusia 53 tahun yang ditahan dalam kes itu berkemungkinan besar akan dilanjutkan selepas reman awal tamat pada Selasa.

"Doktor masih memerlukan masa untuk menilai suspek termasuk dari segi mental. Tambahan pula, dia masih belum pulih sepenuhnya daripada penyakit," katanya tanpa menyatakan secara spesifik.

Ku Mashariman berkata, setakat ini, polis telah merekodkan keterangan lima individu bagi membantu siasatan.

"Kami akan menyiasat perkara itu secara menyeluruh," katanya.

Pada Selasa, tindakan suspek berusia 53 tahun itu terbongkar selepas polis memeriksa rumah dua tingkatnya di Taman OUG, Seputeh, Kuala Lumpur.

Sebelum ini, suspek menghubungi polis dan memberitahu bahawa dia tidak sihat dan mengakui telah menyimpan mayat ibunya dalam peti sejuk.

Difahamkan, suspek mempunyai masalah kewangan selain masalah kesihatan kronik.

Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.

Polis mengenal pasti perselisihan pendapat peribadi sebagai motif di sebalik pembunuhan itu. — The Star/ FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram