[VIDEO] 'Yang mati itu anak saya', bapa meraung depan 3 remaja baling batu semasa betulkan ekzos motor di Nusa Tenggara


  • Benua
  • Khamis, 21 Nov 2024

Bapa mangsa bertemu dengan pelaku yang membunuh anaknya.

KESEDIHAN yang mendalam menyelubungi seorang bapa selepas anaknya disahkan maut akibat dilempar batu besar oleh individu yang tidak dikenali dalam kejadian di Kabupaten Dompu, Nusa Tenggara Barat (NTB), Indonesia pada Khamis.

Tangisan pilu ayah kepada mangsa tular di media sosial ketika beliau bertemu dengan tiga suspek yang ditahan polis.

Rakaman yang dimuat naik di media sosial menunjukkan keadaan ayah mangsa yang dilihat menangis teresak-esak di hadapan suspek.

“Kau bunuh anakku, anakku baru 13 tahun," katanya kepada pelaku.

Beliau turut menyatakan mangsa, Rais merupakan anak sulungnya yang amat disayangi.

Dalam pada itu, seorang anggota polis yang berada di tempat kejadian cuba menenangkan beliau dengan memeluknya.

Ketua Perhubungan Awam Polis Dompu, Inspektor Polis Pertama Zuharis berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 10.40 malam ketika Rais sedang menaiki motosikal bersama rakannya, Raka.

Mereka berhenti di kawasan kejiranan Nusa Dua, Bali apabila ekzos motosikal jenis Honda Scoopy merah yang dinaiki tercabut.

Difahamkan, Rais bertindak turun daripada motosikal untuk membaiki ekzos tersebut.

Namun, tanpa diduga, seorang individu yang menunggang motosikal muncul dari arah belakang dan melemparkan batu besar berbalut plastik ke arah Rais.

Batu berkenaan terkena pada kepala mangsa sehingga menyebabkan beliau rebah di tempat kejadian.

Raka segera meminta bantuan penduduk sekitar yang kemudian membantunya untuk bergegas membawa Rais ke Hospital Besar Dompu.

Malangnya, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan serius di kepala.

Susulan itu, polis di kawasan Woja bertindak menjalankan siasatan untuk mengenal pasti motif di sebalik perbuatan keji itu.

Ketua Polis Woja, Penolong Pesuruhjaya Polis Saiful Anhar menyatakan bahawa tiga suspek telah ditahan bagi membantu siasatan dan pihak berkuasa bertekad untuk memastikan keadilan diberikan kepada keluarga mangsa.

Kejadian ini bukan sahaja meragut nyawa seorang remaja, malah turut mengejutkan masyarakat setempat.

Penduduk berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas agar keselamatan kawasan dapat dipulihkan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram