[VIDEO] Allahyarham Nik Aziz, Kit Siang dapat gelaran Tan Sri sempena Hari Keputeraan Agong


  • Primer
  • Isnin, 05 Jun 2023

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda di Istana Negara pada Isnin. — Bernama

SERAMAI 839 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul mendahului senarai penerima dengan dikurniakan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’.

Turut dikurniakan darjah kebesaran PSM ialah 25 individu lain termasuk Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli; Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Patmanathan; mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh; mantan Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengarah Urusan Kumpulan Engtex Group Berhad, Datuk Ng Hook.

Selain itu, Pengarah Urusan Kumpulan Maxim Global Berhad, Datuk Seri Gan Seong Liam; Pengerusi DPS Resources Berhad, Datuk Seri Sow Chin Chuan; Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Sime Darby Plantation Berhad, Datuk Seri Dr Nik Norzul Thani N.Hassan Thani dan komposer, Datuk Seri Dr Ahmad Khan Nawab Khan.

Turut menerima PSM ialah Pengerusi Eksekutif Yuwang Group, See Hong Cheen @ See Hong Chen; Pengerusi Battersea Power Station Holding Company Limited, Datuk Jaganath Derek Steven Sabapathy; Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed A.R. Albar dan Pengerusi/ Pengarah Perusahaan Sadur Timah Malaysia (PERSTIMA) Berhad, Datuk Wee Hoe Soon @ Gooi Hoe Soon.

Penerima lain ialah Pengarah Urusan Winfast Group of Companies, Datuk Seri Chee Chan Yau @ Cheah Chan Yau; Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Ming Heng Motor Sdn Bhd, Datuk Koh Chui Ming; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dan Pengarah Urusan Cergas Murni Sdn Bhd Datuk Paul Latimer.

Selain itu, Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto Berhad Datuk Seri Yeoh Choon San, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif KK Land Group of Companies Datuk Kong Hoi Chieng, Pengarah Urusan Twin Arrow Fertilizer Sdn Bhd Datuk Seri Lau Kuan Kam, Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman.

Turut dikurniakan PSM ialah mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ahli Dewan Negara Senator Datuk Seri Anifah Aman dan veteran politik Lim Kit Siang.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali @ Mat Jali; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood @ Johan Mahmood Merican; bekas pemain badminton negara Tan Aik Huang dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair Datuk Irwan Shah Abdullah @ DJ Dave merupakan antara 28 penerima darjah kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran 'Datuk’.

Empat penerima darjah kebesaran Panglima Setia Diraja (PSD) yang membawa gelaran 'Datuk' pula ialah Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Mohd Aseral Jusman; Ketua Protokol Jabatan Protokol dan Konsular Kementerian Luar Negeri, Mohd Aini Atan; Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet), Abdul Halim Hamzah dan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad.

Seramai 33 individu menerima darjah kebesaran Johan Mangku Negara (JMN) termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi dan Digital, Mastura Ahmad Mustafa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Roslan Ariffin.

Bagi penerima darjah kebesaran Johan Setia Mahkota (JSM) pula, 33 individu disenaraikan sebagai penerima antaranya penggiat seni Fauziah Nawi; Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad dan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.

Tiga penerima darjah kebesaran Johan Setia Diraja (JSD) ialah Asisten Ketua Staf Tadbir Pangkalan Udara Subang Brigedier Jeneral Baharudin Abu Hassan; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji dan Timbalan Pengarah (Perisikan Siasatan Khas) Bahagian Perisikan Siasatan Khas Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari.

Seramai 116 individu dikurniakan darjah kebesaran Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN) termasuk Pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Dr Abdul Halim Husain dan Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia, Dr Ong Shin Ruenn.

Tahun ini juga menyaksikan seramai enam orang menerima darjah kebesaran Bintang Kesatria Setia Diraja (KSD) dan 218 individu menerima darjah kebesaran Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) termasuk Jurutera Sokongan Bernama, Mohd Halim Esham.

Pembantu Tadbir (Perkeranian dan Operasi) Bahagian Modal Insan Bernama, Rusliza Sahran pula antara 316 penerima Pingat Pangkuan Negara (PPN) manakala 56 individu dikurniakan Pingat Bentara Setia Diraja (BSD). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram