Lima lagu duet 'evergreen' kalau pergi karaoke, no 3 paling popular


  • Hiburan
  • Sabtu, 26 Nov 2022

Lagu duet evergreen sering menjadi pilihan pasangan bercinta di pusat karaoke.

KARAOKE antara aktiviti hiburan yang dilakukan tidak mengira sama ada dengan keluarga atau rakan-rakan.

Diadakan secara terbuka atau di pusat hiburan, karaoke turut menjadi pilihan untuk melepaskan stres atau sekadar suka-suka.

Variasi pilihan lagu baharu mempunyai tarikan tersendiri lebih-lebih lagi apabila dipengaruhi oleh muzik negara luar.

Namun, tidak dilupakan juga lagu malar segar sekitar tahun 1970-an hingga 1990-an masih tetap menjadi pilihan sehingga ke hari ini.

Berikut antara barisan lagu malar segar yang menjadi pilihan mereka ketika sesi karaoke.

1. Seiring dan Sejalan

Penyanyi: Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan Broery Marantika

majoriti2022 (2)

Lagu Seiring dan Sejalan merupakan salah satu runut bunyi bagi filem Hapuslah Air Matamu pada tahun 1976.

Dinyanyikan oleh dua bintang lagenda, Broery Marantika dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini cukup popular ketika itu sehingga ke hari ini.

Lirik lagu;”Seiring dan sejalan, seindah bunga di taman”, sudah cukup untuk membuatkan minda pendengar mengingati semula kenangan lagu yang dihasilkan oleh Ahmad Nawab dan Broery Marantika.

2. Dua Insan

Penyanyi: Datuk M.Nasir dan Yusnizar

majoriti2022 (4)

“Bila kau senyum, ku gembira, bila kau sedih, ku menangis”.

Bait lirik lagu yang dihasilkan oleh penyanyi asalnya iaitu Muhamad Nasir Mohamed atau bergelar Datuk M.Nasir.

Dinyanyikan bersama Yusnizar dan juga merupakan salah satu single daripada album penyanyi itu pada 1980.

Menghampiri usia setengah abad, lagu itu pernah dinyanyikan semula oleh penyanyi tanah air, Ezad Lazim dan bergandingan dengan bintang seberang, Eva pada 2001.

3. Sandarkan Pada Kenangan

Penyanyi: Datuk Jamal Abdillah dan Ogy Ahmad Daud

majoriti2022 (3)

Lagu Sandarkan Pada Kenangan dicipta oleh Datuk M.Nasir dan dijadikan sebagai runut bunyi filem Azura pada 1984.

Dinyanyikan oleh bintang tersohor, Datuk Jamal Abdillah dan Ogy Ahmad Daud yang turut merupakan gandingan merpati dua sejoli dalam filem Azura.

Lagu terbabit turut diangkat sebagai Lagu Terbaik di Festival Filem Malaysia kelima (FFM5) pada 1984.

4. Doa Buat Kekasih

Penyanyi: Datuk Ramli Sarip dan Datuk Khadijah Ibrahim

majoriti2022 (7)

Lagu penyanyi yang terkenal dengan gelaran Papa Rock, Datuk Ramli Sarip dan Datuk Khadijah Ibrahim ini masih diingati dan menjadi siulan sehingga ke hari ini.

Gubahan lagu ditulis Hartinah Ahmad itu mula diperdengarkan sekitar 1988 dan kini mencecah usia 34 tahun.

Nyanyi sahaja lirik lagu, ”Sejarah mengajar kita menjadi lebih dewasa meniti arus angkasa”, tentu sahaja sudah membayangkan kehebata suara kedua-dua penyanyi itu.

5. Lagu: Hati Kama

Penyanyi: Datuk Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris

majoriti2022 (6)

Diciptakan Allahyarham Suhaimi Mohd Zain atau dikenali oleh Pak Ngah bersama Hairul Anuar Harun.

Lagu berentak Irama Malaysia ini berjaya menyertai pertandingan Anugerah Juara Lagu 1999.

Dipersembahkan oleh gandingan duo popular, Datuk Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris, lagu tersebut turut bergelar Juara Kategori Irama Malaysia dalam pertandingan berkenaan.

Secara ringkasnya difahamkan lagu itu menceritakan tentang dua wanita Palembang bernama Wan Empuk dan Wan Malini yang mengakumi penampilan jejaka tampan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram