PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga penyanyi dan pelakon veteran, Datuk Hail Amir yang menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Isnin.
Anwar menerusi satu hantaran di laman Facebook milik beliau turut mendoakan agar keluarga Allahyarham tabah menghadapi ujian tersebut.
"Mendoakan roh Allahyarham diampunkan segala dosanya dan diberi tempat istimewa di sisi Yang Maha Esa, insya-ALLAH.
BACA LAGI: Hail Amir meninggal dunia di HKL
BACA LAGI: [VIDEO] Rebut jalan punya pasal, lelaki 'baran' tahan kereta, ajak bertumbuk di Pagoh
"Karya anak seni Pulau Pinang ini pastinya akan terus dikenang buat selamanya,” kata beliau.
Majoriti sebelum ini melaporkan Hail, 77, meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Isnin.
Allahyarham dimasukkan ke HKL pada Sabtu bagi menerima rawatan selepas mengalami masalah batuk berterusan.
Pemergian Hail atau nama sebenarnya Abdul Hail Amir pada 3.43 petang disahkan Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Rozaidi Abdul Jamil atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi.
Penyanyi legenda yang popular pada era 1970-an itu meninggalkan seorang balu dan empat cahaya mata.
Bakat hail dalam bidang seni suara dikesan oleh komposer terkenal Ahmad Nawab sehingga lahirnya lagu popular Wajah Kesayangan Hamba.
Selepas lebih lima dekad berkecimpung dalam dunia seni, Hail dikurniakan gelaran darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk pada 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram