SIASATAN kes jenayah membabitkan pemain Selangor FC, Faisal Halim yang cedera parah akibat disimbah asid pada 5 Mei lalu tidak pernah dihentikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya juga tidak pernah berhenti berusaha mencari maklumat baharu yang dapat membantu siasatan kes tersebut.
Menurutnya, seramai 23 individu sudah diambil keterangan manakala tiga suspek diambil keterangan sejak siasatan dibuka pada Mei lalu.
BACA LAGI: Kerajaan Selangor masih tunggu laporan siasatan Faisal Halim daripada PDRM
BACA LAGI: [VIDEO] 'Faisal Halim is back', jaringan latihan berkelas dunia ubat kerinduan penyokong
PDRM turut disarankan supaya segera mendedahkan siasatan terkini termasuk pelaku kejadian simbahan asid terhadap Faisal.
Katanya, pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman membuat siasatan secara terperinci, namun tiada bukti dapat mengaitkan ketiga-tiga suspek dengan kes terbabit.
"Hasil analisis forensik terhadap telefon ketiga-tiga suspek mendapati tiada bukti atau perbualan yang mereka terlibat dalam kes itu.
"Malah, pihak JSJ juga melakukan pemeriksaan terhadap akaun-akaun bank mereka (suspek), namun tiada sebarang transaksi wang meragukan atau upah bayaran ditemukan," katanya.
Sebelum ini, kerajaan Selangor memaklumkan bahawa masih belum menerima sebarang maklum balas daripada PDRM berhubung laporan siasatan insiden tersebut.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd Najwan Halimi berkata, pihaknya masih belum mengetahui status terkini mengenai kes Faisal.
Katanya, Speaker DUN (Dewan Undangan Negeri) telah menulis surat kepada pihak polis memaklumkan tentang usul yang dipersetujui secara konsesus dalam sidang yang lalu.
Dalam surat itu, pihaknya minta siasatan menyeluruh dan laporan siasatan berkenaan didedahkan kepada khalayak umum. — The Star/FARIK ZOLKEPLI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram