Pasar ikonik Sungai Merah di Sibu kembali beroperasi, lebih selesa dan moden dikunjungi pelanggan


  • Massa
  • Isnin, 18 Nov 2024

Michael (baju kuning) bersama masyarakat tempatan di pasar Sungai Merah yang dibangunkan semula.

PASAR Sungai Merah di Sibu, Sarawak dijangka akan dibuka semula pada bulan hadapan.

Pasar dua tingkat bernilai RM8.5 juta itu dibina di tapak sama dengan premis lama berusia lebih tujuh dekad telah dirobohkan pada akhir 2022.

“Peniaga yang membuat perniagaan secara sementara di sepanjang tebing Sungai Merah akan mula berpindah ke premis baharu ini,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Pelawan, Datuk Michael Tiang semasa lawatan tapak pasar berkenaan.

Turut hadir ketika lawatan itu ialah Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman dan Setiausaha Majlis Perbandaran Sibu, Yong Ing Chu.

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global

Michael berkata, pasar baharu itu menawarkan persekitaran yang lebih selesa dan moden untuk peniaga dan pelanggan.

“Pasar yang dinaik taraf itu lebih mudah diakses, selesa dan moden bagi menarik lebih ramai pengunjung termasuk orang kurang upaya.

"Saya optimis bahawa ini akan merangsang ekonomi tempatan dengan mewujudkan persekitaran beli-belah yang lebih baik untuk orang ramai,” ujarnya.

Pasar baharu itu dilengkapi dengan kawasan basah dan kering, tempat letak kereta, medan selera, galeri serta stesen pengecasan untuk peranti elektronik.

"Walaupun dengan reka bentuk baharu, elemen sejarah pasar asal tetap dikekalkan sekali gus mengekalkan kepentingan budaya tempat tersebut," tambah Michael yang juga merupakan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak.

Menurutnya, pasar Sungai Merah mempunyai nilah sejarah sejak kedatangan penempatan awal masyarakat Cina di Sibu.

“Ia pernah menjadi satu pusat perniagaan yang penting dan diiktiraf secara meluas sebagai salah satu destinasi ikonik Sibu," kata Michael lagi.

Dengan selesainya pembinaan semula, Michael yakin pasar itu akan kembali menjadi destinasi pilihan yang popular. — The Star / ANDY CHUA

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram