SEORANG pelatih Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Kuala Lumpur pada Khamis atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang pegawai kadet di universiti itu.
Tertuduh, Mohd Adil Mat Awang Ghani, 22, didakwa di hadapan Hakim Noorelynna Hanim Abd Halim atas pertuduhan memijak badan pelatih tahun satu sehingga mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa berusia 19 tahun apabila memijak perut mangsa dengan 'spike boot' di Padang Kawad, ALK, UPNM sekitar pukul 10.45 malam pada 21 Oktober lepas.
BACA LAGI: Tiga kali berkhalwat, tukang kayu jadi individu pertama disebat di Terengganu
BACA LAGI: Berhari-hari sembunyikan mayat, penganggur didakwa tumbuk muka makcik sampai maut di Ipoh
Dalam pada itu, pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh memohon untuk mengurangkan ikat jamin dan Hakim kemudiannya menetapkan ikat jamin berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu dan menghubungi saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 10 Februari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan satu lagi kejadian buli dilaporkan di UPNM membabitkan pelatih tahun satu yang mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang.
Kejadian dilaporkan pada 21 Oktober lalu, sehari sebelum seorang pelajar tahun dua universiti berkenaan ditekap seterika oleh pelajar tahun empat. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram