LELAKI tempatan yang hilang bebola mata kiri akibat dikorek suspek warga asing dalam kejadian di tepi jalan Flat Rathina, Jalan Ara Kuda dekat Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada Sabtu lalu buta seumur hidup.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, mangsa kini masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
"Keadaan mangsa semakin pulih dan mengalami kecacatan kekal akibat insiden itu.
BACA LAGI: Diganggu mangsa punca warga asing korek mata lelaki ketika bergaduh — Polis
"Siasatan sedang dilengkapkan bagi mendakwa suspek di mahkamah," katanya memetik laporan Harian Metro.
Menurut Hamzah lagi, hasil siasatan mendapati berlaku pertengkaran mulut antara mangsa berusia 52 tahun dengan suspek berumur 28 tahun itu sebelum berakhir dengan pergaduhan.
"Punca pergaduhan bermula daripada perselisihan faham antara kedua-dua mereka yang juga jiran perumahan sama.
"Siasatan lanjut mendapati mangsa mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan ketika kejadian dia dipercayai berada dalam keadaan mabuk.
"Manakala suspek yang juga memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tiada rekod jenayah," katanya.
Lelaki tempatan yang hilang bebola mata kiri akibat dikorek suspek warga asing dalam kejadian di tepi jalan Flat Rathina, Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor pada Sabtu lalu buta seumur hidup. pic.twitter.com/Veq96LDNjX
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) November 18, 2024
Pada Ahad, media melaporkan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, suspek direman bermula Ahad hingga Rabu bagi siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, suspek berusia 30-an berjaya ditahan Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Tasek Gelugor sejurus kejadian berkenaan.
"Polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung insiden berkenaan dan membuat tangkapan ke atas suspek.
“Suspek dibenarkan direman selama empat hari bermula hari ini (Ahad) untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram