Lans koperal mengaku tidak bersalah curi barang kemas milik wanita mati dalam kereta di Setapak


Polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan mencuri dua barang kemas milik seorang wanita yang meninggal dunia.

SEORANG polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan mencuri dua barang kemas milik seorang wanita yang ditemui meninggal dunia di dalam kereta di parkir sebuah kondominium dekat Setapak, Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu.

Memetik laporan The Star, tertuduh Mohd Alifah Mohd Sapie, 35, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret M.S Arunjothy.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak itu didakwa mencuri seutas rantai leher dan seutas rantai tangan milik seorang wanita berusia 26 tahun.

BACA LAGI: Koperal antara 3 polis kena tahan disyaki curi barangan kemas pusaka milik wanita mati dalam kereta di Setapak

BACA LAGI: [VIDEO] Sampai 3 kereta berhenti mengejut cuba elak budak kecil main sendirian di tengah jalan

Mohd Alifah didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan selepas dakwaan melakukan kesalahan itu dalam sebuah kereta jenis Proton Saga pada pukul 2.40 pagi.

Hukuman bagi seksyen tersebut memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya Vivi’Asnita Zaina’Larifin tidak menawarkan jaminan kerana pertuduhan tersebut tidak boleh dijamin.

“Namun terpulang pada budi bicara sekiranya mahkamah ingin membenarkan tertuduh diikat jamin,” katanya.

Bagaimanapun peguam R Lavinia yang mewakili tertuduh memohon tertuduh diikat jamin dengan jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga termasuk isterinya dan lima orang anak berusia dua hingga 12 tahun.

“Sepanjang siasatan tertuduh juga turut memberikan kerjasama yang baik tanpa gagal,” ujar Lavinia.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Arunjothy membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.

Tarikh 22 Januari 2025 ditetapkan sebutan semula kes.

Terdahulu, media melaporkan seorang bekas pegawai kanan polis berusia 59 tahun membuat laporan di Balai Polis Setapak pada 8 Oktober lalu selepas mendapati barangan kemas dipakai anak perempuannya ketika meninggal dunia, didapati hilang.

Dia mendakwa selepas jenazah anaknya yang berusia 26 tahun itu selesai dikebumikan di Banting, Selangor, dia cuba mencari rantai, loket dan gelang emas pemberian nenek serta kakak mangsa, namun tidak dijumpai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram