Bapa suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram tak mengaku salah miliki senjata api, tanam ideologi keganasan


Radin Imran mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azhar Abdul Hamid.

BAPA kepada penyerang Balai Polis Ulu Tiram pada Mei lepas, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menanam fahaman ideologi keganasan, memberi sokongan dan memiliki senjata api berkaitan kumpulan pengganas Daesh.

Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azhar Abdul Hamid, yang kemudian menetapkan 15 November untuk pengurusan kes.

Bagi pertuduhan pertama, Radin Imran didakwa secara sengaja menggalakkan tindakan keganasan dengan menanam fahaman IS kepada empat anaknya iaitu Radin Luqman, Radin Romyullah, Farhah Sobrina dan Mariah – dan isterinya Rosna Jantan di sebuah rumah di Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram di Johor Baru dari akhir 2014 hingga 17 Mei 2024.

BACA LAGI: Alami kemurungan, adik suspek serang balai polis Ulu Tiram diarah jalani rawatan

BACA LAGI: Serangan Balai Polis Ulu Tiram: 5 ahli keluarga suspek didakwa galak, tanam ideologi IS

Pertuduhan mengikut Seksyen 130JG(a) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, lelaki itu didakwa menyokong kegiatan pengganas dengan memiliki empat senapang angin buatan sendiri untuk menjalankan aktiviti kumpulan IS dan juga kerana berikrar taat setia kepada ketua kumpulan pengganas itu, Abu Bakar Al-Baghdadi.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di lokasi sama pada pukul 10.45 pagi pada 17 Mei 2024, dan pada akhir 2014, dan didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(b) dan Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 40 tahun penjara, atau denda, jika sabit kesalahan.

Dihadapan hakim sama, anak perempuan Radin Imran iaitu Farhah Sobrina, 23, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja meninggalkan daripada memberi maklumat berkenaan kesalahan-kesalahan berkaitan Seksyen 130J(1)(a) dan Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan.

ULU

Dalam kejadian pada pukul 2.45 pagi 17 Mei 2024 itu, dua anggota Balai Polis Ulu Tiram terbunuh.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, manakala peguam Fatima Zulaikha Ahmad Bashri mewakili kedua-dua tertuduh.

Dalam serangan di balai polis itu pada 17 Mei, dua konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak selepas diserang seorang lelaki yang akhirnya ditembak mati dalam insiden tersebut. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram