POLIS menahan seorang pemandu kereta jenis Toyota Camry yang tular selepas terlibat dalam satu kejadian langgar lari di Lebuh Turi menghala ke Persiaran Raja Muda Musa di Klang, Selangor pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, semakan rekod mendapati pemandu lelaki terbabit mempunyai 10 rekod jenayah lampau dan memiliki 15 waran tangkap atas kesalahan trafik di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.
Beliau berkata, dalam insiden berkenaan, pemandu berkenaan dipercayai menghimpit dan merempuh sebuah motosikal yang ditunggang seorang wanita sekitar pukul 1.45 petang sebelum melarikan diri.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Ujarnya, kejadian berkenaan bagaimanapun dirakam kamera papan pemuka sebuah kenderaan lain dan dimuat naik ke media sosial.
"Penunggang motosikal juga membuat laporan polis setelah mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) kerana patah kaki kiri dan luka di beberapa bahagian badan.
"Bertindak atas rakaman video tular itu, pihak polis telah mengesan kenderaan tersebut melalui beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada beberapa pemilik bangunan perniagaan di sepanjang laluan suspek ketika melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut Hoong Fong, tangkapan dibuat ke atas suspek pada pukul 12 tengah hari Rabu dengan kenderaan terlibat turut dirampas untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Suspek juga akan disiasat dari sudut jenayah sekiranya terdapat unsur-unsur perbuatan jenayah yang dilakukan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram