PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pihaknya menerima secara positif gred D yang diberikan badan pemantauan bebas, BERSIH selepas penilaian dibuat terhadap pentadbiran Kerajaan MADANI.
Namun, menurut beliau, kerajaan akan menambah baik pentadbiran pada tahun akan datang untuk memperoleh gred lebih baik sambil menegaskan gred diterima kali ini masih boleh diterima selepas dua tahun memegang tampuk pemerintahan.
"Berkaitan laporan BERSIH, lebih baik kita menerima gred D berbanding F. Hari ini, kita menerima gred D untuk UPSR dan selepas ini, kita akan cuba mendapatkan A untuk SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), kita kerajaan baru sangat," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
BACA LAGI: Anwar Ibrahim ucap tahniah, harap Trump guna pengaruh tamatkan keganasan di Palestin dan Ukraine
BACA LAGI: PM Anwar ucap takziah buat keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin
BERSIH memberikan gred D terhadap Kerajaan MADANI selepas dua tahun memerintah.
Pada 20 November lalu, organisasi tersebut memberikan gred D kepada kerajaan diketuai Pakatan Harapan selepas dua tahun memerintah dengan ia lebih rendah berbanding pentadbiran terdahulu.
Gred itu diberikan selepas berasakan Kerajaan MADANI tidak membawa perubahan ketara terhadap pentadbiran negara meskipun sebelum ini sering berjanji untuk melakukan reformasi.
Dalam pemarkahan itu, BERSIH memberikan dua kerajaan sebelum ini, iaitu di bawah bimbingan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tun Dr Mahathir Mohamad gred lebih baik.
Ketika ditanya mengenai peruntukan sama rata kepada pihak pembangkang, Anwar sekali lagi menegaskan kerajaan mahu melaksanakan perkara itu, namun ia masih berada dalam proses perbincangan.
Anwar menegaskan kerajaan pimpinannya masih terlalu baru.
"Dalam isu peruntukan, saya sendiri tidak memahami aduan ini yang juga dimasukkan dalam laporan BERSIH. Ketika saya merupakan Ketua Pembangkang, saya berunding dengan Perdana Menteri dan selepas perbincangan dibuat, barulah kami menerima draf awal peruntukan.
"YB Larut (Datuk Seri Hamzah Zainudin) tahu bahawa proses rundingan adalah perlu, tetapi pihak pembangkang tidak mahu mengadakannya, sekali gus membuatkan perkara ini berlarutan," katanya.
Anwar berkata sedemikian sebagai jawapan kepada Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang membangkitkan isu peruntukan kepada pihak pembangkang.
Beliau turut memberi saranan kepada Awang untuk bertindak sebagai orang tengah bagi memastikan dana akan disalurkan sekiranya persetujuan antara kedua-dua pihak dapat dicapai. — The Star/TEH ATHIRA YUSOF , ARFA YUNUS dan HO JIA WEN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram