[VIDEO] Penghapusan NGV: GTSM mohon kerajaan MADANI pertimbang subsidi petrol kepada pemandu teksi


  • Massa
  • Jumaat, 15 Nov 2024

Teksi di Malaysia boleh menggunakan kenderaan EV, namun perlu melihat pada kesediaan infrastruktur pengecasan dan kebolehpercayaan kualiti kenderaan EV.

BERMULA 1 Julai 2025, kerajaan melarang sepenuhnya penggunaan kenderaan berasaskan gas asli mampat (NGV) di seluruh negara. Keputusan itu menerima pelbagai reaksi daripada beberapa pihak.

Dalam hal ini, sudah tentu pemandu teksi adalah golongan yang menjadi tumpuan berikutan kebanyakan kenderaan perkhidmatan itu dikuasakan dengan NGV.

Dalam tinjauan dan temu bual bersama pemandu teksi di sekitar Lembah Klang baru-baru ini, tidak dinafikan kebanyakan daripada mereka meluahkan rasa kebimbangan terhadap pengumuman itu.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

WhatsApp Image 2024-11-14 at 9.31.19 PM

Presiden GTSM, Kamarudin Mohd Hussain.

Namun, Presiden Gabungan Teksi Malaysia (GTSM), Kamarudin Mohd Hussain menganggap langkah tersebut sebagai inisiatif keselamatan dan kemapanan tenaga negara yang lebih berfokus kepada pilihan bahan api yang mudah diakses serta lebih selamat.

Menurutnya, keputusan itu adalah hasil penilaian jangka panjang yang bermula pada tahun 2020, apabila syarikat minyak utama negara, Petronas, mula mengalami kerugian akibat penjualan NGV.

"Sejak tahun 2020, kami telah mengadakan perjumpaan dengan pihak Petronas dan tahun tersebut juga banyak stesen NGV ditutup secara senyap.

“Susulan penutupan itu, ramai ahli-ahli kami terpaksa beralih kepada petrol tanpa menerima pampasan daripada mana-mana pihak," katanya kepada Majoriti.

Bagi menyelesaikan masalah itu, pada Mac lalu, GTSM mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bagi membincangkan perkara tersebut dan kata putus dicapai apabila Petronas diarah membayar pampasan kepada pemandu teksi terjejas.

Pics for story on petrol Ron 95 subsidy on October 18.—AZMAN GHANI/The Star

Pemberian subsidi petrol melalui Belanjawan 2025 selari dengan penamatan penggunaan NGV.

Subsidi bersasar buat pemandu teksi

Pada 18 Oktober lalu menerusi Belanjawan 2025, kerajaan memperkenalkan subsidi petrol bersasar bagi meringankan beban rakyat.

Kamarudin berkata, pemberian subsidi tersebut selari dengan penamatan penggunaan NGV.

"Kalau kita lihat balik situasi (penyasaran subsidi petrol) ini, sebenarnya ia selari kerana NGV akan ditamatkan manakala subsidi petrol akan dilaksanakan pertengahan tahun depan.

"Jadi, tidak mustahil sebelum tamat sepenuhnya penggunaan NGV, pemandu teksi akan menikmati subsidi petrol bersasar seperti perkhidmatan bas sekolah yang menerima subsidi diesel RM.188 sedangkan jualan adalah RM2.95.

“Kalau bas sekolah kerajaan boleh bagi, tidak mustahil untuk kerajaan bagi subsidi yang berpatutan kepada pemandu teksi dan apabila pemandu teksi menerima subsidi bersasar petrol, itu adalah lebih baik," ujarnya.

EV Charging station

Jumlah stesen pengecasan EV di Malaysia masih berada pada tahap awal.

Teksi EV atau petrol?

Di China, jutaan teksi menggunakan kenderaan elektrik (EV) bagi menyokong kelestarian alam untuk menyasarkan sifar karbon.

Kamarudin berpendapat, Malaysia juga boleh berbuat demikian tetapi perlu melihat pada kesediaan infrastruktur pengecasan dan kebolehpercayaan kualiti kenderaan EV.

“Bagi saya, EV adalah satu idea yang bagus untuk masa depan, tetapi kita perlu pastikan ia menggunakan model yang berkualiti dan mempunyai stesen pengecasan yang meluas.

“Saya tidak menggalakkan perkhidmatan terbabit kerana mendatangkan banyak risiko selepas melihat kepada kemudahan pengecasan yang masih terbatas terutamanya di kawasan perumahan seperti flat dan pangsapuri, di mana ramai pemandu teksi menetap,” katanya.

Beliau turut memberi contoh senario jika pemandu teksi yang menggunakan EV gagal tiba ke destinasi penumpang ekoran kehabisan bateri dengan tempat pengecasan yang masih terhad.

“Bayangkan kalau teksi sedang membawa penumpang dan tiba-tiba bateri habis, bagaimana nak cas di tengah lebuh raya? Jadi kami lebih selesa dengan petrol buat masa ini, kerana ia lebih praktikal dan mudah diakses,” ujarnya.

Berbanding NGV, tidak dinafikan kenderaan elektrik menawarkan banyak kelebihan, terutama dari segi menjaga kelestarian alam dan kos penyelenggaraan yang lebih rendah dalam jangka panjang.

Menurut kajian Carlist, kos tenaga elektrik untuk EV adalah sekitar 30 hingga 40 peratus lebih rendah berbanding petrol atau NGV, dan EV juga mengurangkan pelepasan karbon dalam kadar yang lebih banyak.

Di Malaysia, kerajaan sudah mula menyediakan insentif dan pengecualian cukai kepada pemilik EV bermula awal Januari 2022 sehingga akhir 2025, namun pembangunan stesen pengecasan masih berada pada tahap awal.

Screenshot 2024-11-14 214041

Teksi EV di Shenzhen, China mula berlegar di atas jalan raya mereka pada 2010. — Creative Commons

China, yang menjadi pelopor utama EV mencatatkan sebanyak 9.75 juta unit kenderaan elektrik terjual dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini dengan rangkaian pengecasan yang sangat luas apabila terdapat lebih 9 juta stesen pengecasan di seluruh negara itu, sekali gus memberikan keyakinan kepada pengguna untuk beralih kepada EV.

Sebaliknya, Malaysia masih memerlukan banyak pembangunan infrastruktur jika ingin menggalakkan penggunaan EV secara meluas dalam industri teksi.

"Negara kita masih jauh untuk mencapai tahap tersebut, di mana tempat pengecasan masih kurang dan banyak cabaran dari segi teknologi serta kos pembaikan EV," kata Kamarudin.

Justeru, sebagai langkah alternatif, pihaknya telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk melakukan penjenamaan baharu kepada teksi dengan menggunakan kenderaan dari salah sebuah jenama terbesar buatan Jepun termasuk meneruskan penggunaan kenderaan petrol sebagai pilihan utama bagi perkhidmatan tersebut.

"Walaupun kami menyokong usaha ke arah teknologi hijau, buat masa ini kami rasa lebih praktikal untuk mengekalkan kenderaan petrol bagi tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang," ujarnya lagi.

Peralihan ke arah teknologi hijau merupakan langkah penting, namun ia perlu disokong oleh infrastruktur yang mencukupi serta kesediaan teknologi dalam memenuhi keperluan operasi perkhidmatan awam.

Buat masa ini, cadangan pengendali teksi untuk mengekalkan kenderaan petrol mungkin memberi lebih keselesaan kepada pemandu terlibat dan pengguna perkhidmatan teksi di Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram