Status pekerjaan, tanggungan antara panduan rangka semula subsidi RON95 — Fuziah Salleh


  • Primer
  • Isnin, 18 Nov 2024

Fuziah berkata, Statistik PAKW dan IKSH yang dibangunkan oleh DOSM akan merangka kaedah baharu pengagihan subsidi RON95.

STATUS pekerjaan dan bilangan tanggungan bakal menjadi antara penunjuk kos sara hidup yang digunakan untuk merangka kaedah baharu pengagihan subsidi RON95, kata Fuziah Salleh.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata, penunjuk tersebut akan dipertimbangkan sebagai aspek perbelanjaan isi rumah.

"Mengenai RON95, jika subsidi bersasar dilaksanakan, ia pasti akan memberi kesan kepada isi rumah yang bergantung kepada RON95,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin (18 November).

BACA LAGI: Bojan Hodak sayangkan Indonesia? 4 jurulatih negara Balkan calon sesuai buat Terengganu FC, Selangor FC

BACA LAGI: Pep Guardiola senyap-senyap bincang tugas besar lepas keluar Man City

Fuziah menambah bahawa Statistik Perbelanjaan Asas Kehidupan (PAKW) dan Indeks Kos Sara Hidup (IKSH) yang dibangunkan oleh Jabatan Perangkaan (DOSM) juga akan merangkumi penunjuk-penunjuk sedemikian.

"Dalam kajian yang dibangunkan oleh DOSM, yang turut dibentangkan kepada kementerian, penunjuk seperti bilangan tanggungan dan kos sara hidup memang diambil kira.

"Ini bermakna faktor seperti memiliki dua kereta, kedua-dua suami isteri bekerja, mempunyai anak kecil yang bersekolah, atau anak yang melanjutkan pelajaran ke universiti adalah sebahagian daripada penunjuk kos sara hidup," katanya.

Fuziah berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan oleh Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) di Dewan Rakyat.

Minggu lepas, DOSM memperkenalkan statistik baharu bagi penunjuk kos sara hidup, termasuk PAKW dan IKSH, yang bertujuan untuk membimbing perancangan dasar dan menjadi rujukan kepada orang awam untuk merancang serta mengurus kewangan dan perbelanjaan mereka.

Terdahulu, semasa menjawab soalan utama Azahari mengenai rancangan kementerian menangani kenaikan harga barang, Fuziah berkata, kerajaan akan meneruskan Program Jualan RAHMAH dan inisiatif Agro MADANI yang menawarkan barangan pada harga rendah, tahun depan.

"Jualan RAHMAH ini akan diadakan dua kali sebulan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Menjawab soalan tambahan daripada Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai isu kebocoran minyak masak bersubsidi, Fuziah berkata, kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang didapati menyalahgunakan pek minyak masak bersubsidi.

Menurutnya, sebanyak 60 juta pek minyak masak bersubsidi dihasilkan setiap bulan.

"Oleh itu, penguatkuasaan tegas adalah penting untuk mengelakkan kebocoran barangan bersubsidi, khususnya pek minyak masak,” katanya.

"Namun, ada pihak yang masih mengambil kesempatan, seperti menggunakan minyak masak bersubsidi di restoran.

"Ini akan ditangani dengan tegas, dan ia adalah tanggungjawab pasukan penguatkuasaan kami. Kami akan memastikan tiada kebocoran berlaku,” tambahnya. — THE STAR /ARFA YUNUS, TEH ATHIRA YUSOF dan HO JIA WEN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Subsidi RON95, Fuziah Salleh, DOSM, PAKW, IKSH,