[VIDEO] Patut ada dalam 'wishlist' pencinta alam, ketahui 7 lokasi wajib dikunjungi di Sumatera Utara


  • Hobi
  • Sabtu, 16 Nov 2024

Salah satu tarikan utama yang tidak boleh dilepaskan di Sumatera Utara ialah Danau Toba iaitu tasik volkanik terbesar di dunia.

BAGI pengunjung yang menyukai keindahan alam semula jadi, Sumatera Utara yang terletak di Indonesia adalah destinasi yang wajib dikunjungi.

Wilayah itu menawarkan pelbagai tarikan alam yang menakjubkan dari tasik yang luas, gunung berapi aktif hingga hutan tropika kaya dengan flora dan fauna unik.

Dengan pemandangan yang luar biasa dan suasana yang menenangkan, Sumatera Utara menjadi pilihan tepat bagi mereka yang ingin melarikan diri daripada kesibukan kota dan menikmati keindahan semula jadi.

BACA LAGI: Nikmati pengalaman sendirian dengan selamat, 5 tip berguna buat pengembara solo

BACA LAGI: Cita rasa Melaka, 5 destinasi 'syurga makanan' goda selera

Berikut adalah beberapa destinasi alam menarik yang patut dimasukkan dalam senarai pelancongan anda:

6177103312244030731

Air Terjun Sipiso-piso adalah antara air terjun tertinggi di Indonesia.

1. Air Terjun Sipiso-piso

Air Terjun Sipiso-piso yang terletak di Kabupaten Karo adalah antara air terjun tertinggi di Indonesia dengan ketinggian kira-kira 120 meter.

Terjunan air yang deras dari ketinggian itu mencipta pemandangan yang luar biasa seakan-akan benang halus yang jatuh dari bukit.

Dari kawasan air terjun, pengunjung dapat menikmati panorama Danau Toba yang menakjubkan dan pemandangan sekitar yang luas.

Suasana yang dramatik, dengan latar belakang bukit hijau dan aliran air yang kuat menjadikan lokasi itu tempat yang sempurna untuk bersantai sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

Banyak pelancong datang ke kawasan tersebut untuk merakam gambar dan mengabadikan momen istimewa.

6177207963417177487 (1)

Air Terjun Efrata terkenal dengan aliran air yang tenang.

2. Air Terjun Efrata

Terletak berhampiran Danau Toba, Air Terjun Efrata di daerah Silalahi semakin mendapat perhatian sebagai destinasi alam yang menarik.

Berbeza dengan air terjun lain yang lebih tinggi dan deras, Air Terjun Efrata terkenal dengan aliran air yang tenang dan mempesonakan.

Airnya mengalir perlahan di atas batuan lebar mencipta suasana yang damai dan menenangkan. Dengan akses yang mudah dan selamat, air terjun itu sesuai untuk keluarga atau pengunjung yang ingin menikmati alam semula jadi tanpa perlu mendaki laluan yang sukar.

Ia adalah destinasi yang ideal bagi mereka yang mencari ketenangan.

6177103312244030730

Kolam abadi merupakan salah satu tempat wajib diterokai.

3. Kolam Abadi

Kolam Abadi di Sumatera Utara bukan sahaja terkenal dengan kejernihan airnya tetapi juga menawarkan pengalaman yang mengujakan seperti body rafting.

Aktiviti itu semakin popular dalam kalangan pengunjung yang membolehkan mereka terapung dan mengalir mengikuti arus sungai semula jadi menggunakan pelampung atau life jacket.

6177207963417177479

Body Rafting merupakan aktiviti yang boleh dibuat di Kolam Abadi.

Dalam perjalanan, pelancong akan menikmati keindahan alam semula jadi hutan tropika yang mengelilingi sungai.

Kolam Abadi adalah tempat yang sesuai bagi mereka yang mencari pengalaman baharu selain ingin berinteraksi secara langsung dengan alam semula jadi.

6177207963417177484

Bah Manik terkenal dengan airnya yang jernih dan sejuk menjadikannya tempat yang sesuai untuk berenang.

4. Bah Manik

Bah Manik adalah destinasi alam semula jadi yang semakin dikenali di Sumatera Utara.

Terletak di kawasan hutan tropika, tempat itu menawarkan pengalaman yang tenang dan mendamaikan.

Bah Manik terkenal dengan airnya yang jernih dan sejuk menjadikannya tempat yang sesuai untuk berenang dan beriadah di dalam air semula jadi.

Pengunjung boleh menikmati kesegaran air yang berasal dari mata air gunung sambil merasai ketenangan alam sekitar.

Ini adalah lokasi yang ideal untuk mereka yang ingin berehat, merakam momen indah dan menikmati suasana yang damai.

6177207963417177480

5. Bukit Holbung

Bukit Holbung yang terletak berhampiran Danau Toba terkenal dengan pemandangan alam yang bergelombang dan menghijau.

Bukit ini sering disebut sebagai Bukit Teletubbies kerana rupa landskapnya yang mirip dengan pemandangan dalam rancangan TV kanak-kanak popular 90-an.

6177207963417177486 (1)

Ramai orang memilih untuk berkhemah di Bukit Holbung kerana permandangannya yang memukau.

Pendakian ke puncak Bukit Holbung tidak memerlukan tahap kecergasan yang tinggi menjadikannya sesuai untuk semua peringkat umur termasuk keluarga dan pendaki pemula.

Walaupun perjalanan agak santai, pemandangannya tetap memukau menjadikannya tempat yang popular untuk berkhemah, berjalan-jalan atau sekadar menikmati keindahan alam.

Bukit itu adalah destinasi sempurna bagi mereka yang ingin meluangkan masa berkualiti dengan orang tersayang.

6177207963417177478

Gunung Sibayak terkenal sebagai salah satu lokasi terbaik untuk mendaki di Sumatera Utara.

6. Gunung Sibayak

Gunung Sibayak yang terkenal sebagai lokasi terbaik untuk melihat matahari terbit menawarkan pengalaman pendakian yang menarik.

Ramai pendaki memilih untuk mendaki pada waktu awal pagi untuk menyaksikan pemandangan matahari terbit yang mempesonakan di puncak gunung.

Sebagai gunung berapi yang masih aktif, Gunung Sibayak menyediakan pemandangan kawah yang dramatik serta panorama indah kawasan sekitar seperti bandar Berastagi dan pergunungan lain di Sumatera Utara.

Setelah mendaki, pelancong boleh berehat di mata air panas yang terletak di kaki gunung sambil menikmati kehangatan air semula jadi yang dipercayai dapat meredakan ketegangan otot dan menyegarkan tubuh.

6177207963417177482

Muzium Batak merupakan destinasi yang penuh dengan kebudayaan masyatakat suku Batak.

7. Muzium Batak

Muzium Batak di Sumatera Utara adalah destinasi budaya yang menarik dan penting bagi mereka yang ingin memahami sejarah dan tradisi masyarakat Batak iaitu salah satu suku kaum asli terbesar di Indonesia.

Terletak di kawasan Balige yang berhampiran dengan Danau Toba, muzium itu mempamerkan pelbagai koleksi yang menggambarkan kehidupan masyarakat Batak dari segi sejarah, seni, adat dan budaya.

Muzium Batak adalah tempat yang ideal untuk mereka yang ingin memahami lebih dalam tentang kehidupan tradisional Indonesia dan melihat cara budaya Batak masih dipraktikkan dalam kehidupan moden. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram