JASAD wanita berusia 20 tahun yang dikhuatiri lemas dan hilang di Sungai Air Berok, Jalan Padang Setang, Kampung Kerunai Gerik, Perak berjaya ditemukan selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan pada Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mayat mangsa, Nur Arina Azizan ditemukan anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kerunai sekitar pukul 4 petang kira-kira tujuh kilometer (km) dari lokasi mangsa mula dihanyutkan.
Sabarodzi berkata, mayat mangsa dijumpai tersangkut pada dahan pokok di dalam air berhampiran tebing sungai sebelum dibawa ke jeti terdekat di Kampung Dusun.
BACA LAGI: [VIDEO] Anak lemas dibawa arus, ibu terselamat tragedi mandi Sungai Air Berok
BACA LAGI: [VIDEO] Trio penjenayah pecah cermin 3 kereta, selamba bawa lari barang berharga di Kota Damansara
Operasi SAR yang dilakukan untuk mencari jasad mangsa sebelum ditemukan.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis dan akan dihantar ke Hospital Gerik untuk tindakan lanjut.
"Operasi SAR dipecahkan kepada 13 sektor di sepanjang sungai bermula dari Sungai Air Beruk hingga ke Dataran Loma di Sungai Rui yang turut disertai Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM dan agensi bantuan lain bersama bot masing-masing.
"Pasukan dipecahkan untuk membuat pencarian di semua sektor, manakala dua bot ditugaskan membuat pencarian di sekitar Sungai Perak.
"Selain itu, anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) juga membuat selaman di sekitar kawasan yang disyaki mangsa berada," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, operasi SAR Nur Arina juga membabitkan seramai 58 anggota pelbagai agensi termasuk 25 anggota JBPM serta bantuan penduduk setempat bersama kekuatan logistik membabitkan penggunaan 15 bot dan tujuh kayak.
Terdahulu, media melaporkan aktiviti mandi-manda bersama keluarga bertukar tragedi apabila mangsa dikhuatiri lemas dihanyutkan arus di sungai berkenaan pada Ahad lalu.
Dalam kejadian sama, ibu mangsa sempat diselamatkan oleh orang awam dan dibawa naik ke tebing sebelum pihak bomba tiba di lokasi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram