AKTIVITI mandi-manda bersama keluarga bertukar tragedi apabila seorang wanita berusia 20 tahun dikhuatiri lemas dihanyut arus dalam kejadian di Sungai Air Berok, Jalan Padang Setang, Kampung Kerunai Gerik, Perak pada Ahad petang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa dikenali sebagai Nur Arina Azizan dipercayai hanyut dibawa arus deras.
Dalam kejadian sama, ibu mangsa sempat diselamatkan oleh orang awam dan dibawa naik ke tebing sebelum pihak bomba tiba di lokasi.
“Bomba menerima panggilan pada pukul 3.11 petang dan melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan menggunakan teknik mencari di permukaan air berdekatan lokasi mangsa dipercayai lemas.
“Turut terbabit adalah pasukan kayak melibatkan bomba sukarela Kampung Kerunai dengan sembilan kayak melaksanakan pencarian menyusuri sungai,” katanya dalam kenyataan pada Ahad malam.
Sabarodzi berkata, pencarian turut dibantu agensi lain termasuk pasukan Unit Anjing Pengesan (K9).
Bagaimanapun, operasi pencarian ditangguh pada pukul 7 malam Ahad dan akan disambung pukul 8 pagi Isnin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram