"SAYA kehilangan sahabat yang bersama saya berjuang untuk bangsa, negara dan agama."
Demikian kata Tun Dr Mahathir Mohamad atas pemergian Tun Daim Zainuddin pada Rabu.
Bekas Perdana menteri itu berkata, Allahyarham seharusnya diberikan penghormatan atas sumbangannya kepada negara.
BACA LAGI: Tun Daim meninggal dunia di Hospital Assunta PJ
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
"Saya kehilangan seorang kawan yang berjuang bersama saya untuk bangsa, negara dan agama. Saya sedih tidak terhingga," kata Dr Mahathir dalam satu kenyataan pada Rabu.
Daim menjadi Menteri Kewangan sebanyak dua kali semasa tempoh pertama Dr Mahathir bertugas sebagai Perdana Menteri iaitu dari 1984 hingga 1991 dan memegang jawatan itu semula dari 1999 hingga 2001.
Beliau menjadi Menteri Kewangan ketika negara berdepan dengan situasi ekonomi mencabar termasuk berikutan krisis kewangan Asia.
Menurut Dr Mahathir, Allahyarham Daim tidak seharusnya dicemuh tanpa sebab dan berharap sahabatnya itu akan mendapat keadilan.
Beliau berkata demikian merujuk kepada kes mahkamah dihadapi Daim.
"Berilah tempat kepadanya sebagai pejuang bangsa. Saya doakan kami akan bersatu semula," kata Dr Mahathir.
Pada 29 Januari lalu, Daim, 86, didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal mengisytiharkan harta. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram